BINTULU, 19 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu mengesan 86 kesalahan dengan nilai sitaan RM1,310,038.00 pada 2023.
Ketua Cawangannya, Al Redzamani Abdul Razak berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lepas, 6,894 premis diperiksa menerusi pelbagai operasi.
“Beberapa kompaun dikeluarkan yang membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya harga mahal, tiada tanda harga, penimbang tidak tepat, pelanggaran peraturan halal, barang tiruan dan penyelewengan barangan bersubsidi khususnya bahan api diesel.
“Semua premis ini diperiksa dari segi pematuhan undang-undang di bawah KPDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat Februari ini, 1,200 premis telah diperiksa dan sembilan kes dihasilkan melibatkan nilai sitaan RM63,016.50 atas pelbagai kesalahan.
Dalam pada itu, beliau berkata Op Tiris yang dilancarkan sejak 1 Mac tahun lepas bertujuan membanteras ketirisan subsidi diesel di Bahagian Bintulu.
“Pelaksanaan operasi itu penting bagi memastikan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerimanya,” katanya. – TVS