JAKARTA, 14 Feb: Pengundi muda dijangka akan memainkan peranan besar bagi menentu kemenangaan calon presiden dan naib presiden pada Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) hari ini.
Ini berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia yang menunjukkan jumlah pengundi kumpulan itu yang mencecah seramai 113 juta orang.
Jumlah itu mewakili 56.45 peratus daripada keseluruhan 204.8 juta pengundi.
Tinjauan TVS di beberapa pusat mengundi di pusat bandar mendapati ramai dalam kalangan pengundi muda bersemangat mengambil bahagian dalam pesta demokrasi ketiga terbesar di dunia ini.
Ketua Tempat Mengundi Wilayah Kramat Jati, Jakarta Timur, Hadi Sucipto berkata, keghairahan golongan muda untuk mengundi sangat tinggi pada pemilihan tahun ini.
“Sejak pagi tadi, anak muda mendominasi saluran mengundi apabila mereka datang awal.
“Mereka sangat bersemangat untuk memilih pemimpin masa depan Indonesia,” katanya kepada TVS hari ini.
Faktor lain yang mempengaruhi anak muda keluar beramai- ramai kata Hadi ialah kerana mereka mahukan pemimpin yang jujur, adil dan memikirkan rakyat serta boleh memberi peluang kepada anak muda.
Pemilu 2024 menyaksikan pertembungan bekas Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang kini bergandingan dengan anak sulung Presiden Joko Widodo atau Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai regunya untuk calon naib presiden.
Prabowo yang berhadapan Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo memerlukan lebih 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah negara itu untuk jawatan presiden. -TVS