IPOH, 11 Feb: Seorang anggota polis terkorban apabila kereta dipandunya terbabas selepas melanggar seekor ular sawa di Kilometer 311.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, mangsa, Wan Muhammad Mohd Rodzlad, 36, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Sumber berkata, pasukan Peronda Labuh Raya (EMPV) Ipoh-Tapah yang membuat rondaan telah menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi.
“Ketika pasukan tiba, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic telah melanggar seekor ular sawa di lorong kanan.
“Kereta telah terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri, manakala mangsa meninggal dunia di lokasi,” katanya hari ini.
Ujar beliau, kejadian tersebut berlaku semasa keadaan cuaca baik di laluan lurus menurun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. – TVS