KUCHING, 28 Jan: Kolaborasi antara permainan Esport dan budaya berperanan memperkasakan warisan khazanah negara yang semakin lenyap, malah melalui penglibatan budaya dalam aspek permainan itu, ia akan terus berkembang maju dalam transformasi digital yang berdaya saing dan progresif.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, paparan atau aktiviti yang berkaitan budaya dalam program adalah satu strategi yang baik bagi memastikan seni dan warisan terus kekal relevan dan diwarisi sebagai satu kebudayaan yang bernilai oleh generasi akan datang.
Menurutnya, ia juga merupakan khazanah negara yang amat berharga yang tidak ternilai agar tidak pupus ditelan zaman disamping menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berteraskan warisan.
“Apa yang lebih menarik lagi kali ini kita lihat bagaimana persatuan penganjur bersama Pejabat Residen dapat mengkolaborasikan permainan Esport bersama dengan budaya dan juga digital.
“Saya ingat main budaya rupa-rupanya terdapat aktiviti berkaitan dengan budaya setempat juga dipaparkan,” katanya ketika berucap semasa Program Samarahan E-Sport Championship x Culture & Digital di Summer Mall di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, minat dan bakat anak muda dalam Esport perlulah dijadikan sebagai satu kerjaya pada masa hadapan.
“Kita menggalakkan anak muda menganbil peluang dengan bakat yang ada pada mereka untuk membangunkan diri dalam kerjaya melalui Esport, ini kerana terdapat banyak kerjaya yang telah tercipta hingga ke peringkat antarabangsa hanya dengan permainan Esport.
“Tetapi sekarang pertandingan Esport juga dipertandingankan di Sea Games, di Asia Game malah mungkin di Olimpik Games.Peluang untuk masa depan permainan Esport ini amat tinggi sekali dan ia merupakan satu bidang yang perlu diambil peluang oleh anak anak muda kita yang betul betul berminat, berbakat dan berpotensi untuk membangunkan diri dalam kerjaya melalui Esport,” katanya. -TVS