KUCHING, 27 Jan: Kerajaan Sarawak komited ke arah usaha melahirkan modal insan bertaraf global bagi disesuaikan dengan keperluan negeri.
Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kemajuan dan pembangunan bidang pendidikan merupakan sebahagian daripada elemen penting pemantapan kuasa ekonomi serta sektor pembangunan lain.
Katanya, persiapan mental dan pengetahuan yang telah diperoleh akan membantu siswa-siswa meraih kecemerlangan bagi diri mereka selain turut mengukuhkan nama Sekolah Seni Malaysia Sarawak.
“Majlis graduasi ini menandakan permulaan sebuah perjalanan yang penuh cabaran bagi para siswa. Semangat dan kekuatan iman akan menjadi kunci untuk menghadapi rintangan di masa depan.
“Prestasi Sekolah Seni Malaysia Sarawak dalam Peperiksaan SPM pada tahun 2022, menduduki tempat ke-4 di Sarawak adalah satu kejayaan yang membanggakan dan harus dipertahankan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika menghadiri Majlis Graduasi ke-13 2023 di Auditorium Toh Puan Rokiah Sekolah Seni Malaysia harı ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Pantai Damai berkata, kepentingan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tidak boleh dipandang remeh kerana ia merupakan tiket untuk mengejar pendidikan tinggi.
“Saya mengajak para siswa untuk memelihara sikap positif dan tekad yang kuat dalam meraih kejayaan. Ini adalah harapan saya dan masyarakat Sekolah Seni Malaysia Sarawak untuk terus berusaha demi memartabatkan negara di arena global,” katanya.
Seramai 53 graduan tingkatan lima Sekolah Seni Malaysia Sarawak menerima pengiktirafan tersebut. – TVS