Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan Envato

Komited pastikan tahap kesalinghubungan, Internet di Sabah pada tahap terbaik

ByWilly Jali

SIPITANG, 15 Sept: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus komited untuk memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan Internet di Sabah berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.

SKMM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pemerkasaan itu dilaksanakan menerusi pembuktian konsep (POC) perkhidmatan jalur lebar Starlink di kawasan pedalaman dan terpencil.

Menurut kenyataan tersebut, turut diberikan keutamaan termasuk pemerkasaan peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan pembinaan menara telekomunikasi.

“Pemasangan peranti POC Starlink ini bagi menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit tersebut sebagai salah satu langkah untuk memenuhi pelbagai keperluan yang terangkum dalam Pelan JENDELA.

“Kewujudan NADI turut memberikan impak kepada kehidupan penduduk setempat. Setakat ini 118 NADI beroperasi di seluruh Sabah manakala 14 NADI baharu akan dibina sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 132 NADI di Sabah,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu peranti Starlink dipasang di Daerah Papar, Keningau, Tawau, Kudat, Ranau, Tuaran dan Nabawan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mengadakan lawatan ke Kampung Mondikot, Papar, Sabah bagi meninjau perkembangan projek POC Starlink.

Beliau juga turut menghadiri program Hari Bersama Komuniti di NADI Mesapol, Sipitang serta meninjau perkembangan projek menara komunikasi JENDELA di Kampung Menengah Ulu Sipitang.

Sehubungan itu, MCMC turut memaklumkan program yang ditawarkan di NADI kini berpaksikan lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.

Sementara itu, di bawah Pelan JENDELA, turut dilaksanakan kerja menaik taraf beberapa stesen pemancar di kawasan Sabah.

“Sebanyak 4,629 stesen pemancar sedia ada dinaik taraf manakala 303,569 premis akan dilengkapi sambungan gentian optik.

“Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) turut dilaksanakan di 138 lokasi di negeri berkenaan,” menurut kenyataan tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan