Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengunjung melawat tapak jualan produk hasil hutan bukan kayu (NFTP) pada Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 Jabatan Hutan Sarawak di Kuching pada Sabtu. Foto: TVS

Produk hasil hutan bukan kayu Sarawak mampu tembusi pasaran global

KUCHING, 14 Sept: Seramai 100 peserta komuniti pengusaha hasil hutan bukan kayu (non-timber forest products atau NTFP) seluruh Sarawak menyertai Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 Jabatan Hutan Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran karnival tersebut adalah untuk memperkenal dan mempromosi produk NTFP yang diusahakan dan dihasilkan komuniti yang menetap di sekitar kawatan hutan simpan kekal.

Sehubungan itu beliau menggesa semua agensi kerajaan dan swasta di Sarawak menggembleng tenaga memperkasakan industri NTFP.

“Karnival ini merupakan satu langkah jangka panjang terutama untuk penduduk di kawasan luar bandar untuk menjana pendapatan mereka.

“Pada masa sama, mereka dapat bergerak seriring mengikut arus pembangunan yang dilancarkan Kerajaan Sarawak dan Kerapaan Pusat berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 Jabatan Hutan Sarawak di Kuching pada Sabtu.

Len menjelaskan, produk keluaran komuniti tersebut mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke peringkat global berdasarkan kualiti selain mempunyai nilai estetika dan kebolehpasaran.

Antara produk NTFP yang dihasilkan termasuk tikar, bubu, beg tangan dan rantai selain produk makanan seperti madu kelulut serta gula apong.

Sementara itu, komuniti yang terlibat dalam karnival tersebut termasuk dari kawasan tanah lembap Kuala Rajang, kawasan cadangan Biosfera Gunung Pueh, kawasan lembangan air Baleh dan Heart of Borneo Sarawak.

Untuk rekod, sejak penganjuran pertama pada 2006 hingga kini, hasil jualan terkumpul bagi produk NTFP melebihi RM900,000.

Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 anjuran Jabatan Hutan Sarawak berlangsung dari 14 hingga 22 September ini di Plaza Merdeka Kuching.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan) Semilan Ripot dan Penolong Pengarah Hutan yang juga Ketua Bahagian Perhutanan Sosial Suliman Jamahari. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan