Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lebih daripada 41,100 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih 95,100 cedera. Foto fail AFP

Negara Eropah, agensi PBB marah dengan serangan akibatkan enam petugas UNRWA maut di Gaza

ByBernama

LONDON/ANKARA, 13 Sept: Negara-negara Eropah dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kemarahan mereka pada Khamis terhadap serangan Israel ke atas sebuah sekolah di Semenanjung Gaza yang mengorbankan enam petugas Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), lapor Agensi Anadolu.

Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh pada Rabu dalam dua serangan ke atas Sekolah Al-Jaouni di Kem Pelarian Nuseirat yang menempatkan 12,000 orang awam yang dipindahkan, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Enam petugas UNRWA adalah antara mangsa, termasuk pengurus tempat perlindungan agensi itu di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, menyatakan kesedihan terhadap serangan itu dan menyebut bahawa lebih daripada 220 kakitangan UNRWA telah terbunuh di Gaza sejak Oktober lepas.

Beliau berkata tembakan turut dilepaskan ke arah konvoi PBB yang mengedarkan vaksin polio di Gaza awal minggu ini.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini menjadi normal atau mengambil ringan risiko yang dihadapi petugas kemanusiaan dengan nyawa mereka sendiri untuk membantu orang lain,” kata Harris.

Beliau mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera, pembebasan semua tawanan dan akses tanpa halangan kepada bantuan di Gaza.

“Kita juga mesti memastikan akauntabiliti bagi mereka yang melakukan jenayah perang,” katanya.

Setiausaha Luar United Kingdom, David Lammy, menyifatkan serangan itu sebagai “mengerikan”.

“Pekerja bantuan mesti dapat menjalankan tugas mereka dengan selamat. Kita memerlukan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan sekarang,” katanya dalam hantaran di X.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell menyatakan di X bahawa Israel telah menyerang “buat kali kelima” sebuah sekolah di Nuseirat yang menempatkan orang yang dipindahkan.

Beliau menegaskan bahawa “pengabaian prinsip asas” undang-undang kemanusiaan antarabangsa, “terutama perlindungan orang awam, tidak boleh dan tidak sepatutnya diterima” oleh masyarakat antarabangsa.

Kementerian Luar Perancis juga mengutuk serangan udara Israel ke atas Sekolah Al-Jaouni.

“Perancis mengulangi seruannya untuk pembebasan semua tawanan dan memandangkan kecemasan kemanusiaan di Gaza, untuk gencatan senjata segera dan berkekalan bagi membolehkan perlindungan penduduk awam dan akses besar-besaran serta tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Ia juga menekankan kewajipan Israel untuk “memastikan perlindungan pekerja kemanusiaan dan kakitangan PBB”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Jerman dalam hantarannya di X berkata “pekerja bantuan kemanusiaan tidak boleh menjadi mangsa roket”.

“Kematian enam kakitangan @UNRWA di sebuah sekolah di #Nuseirat adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya, sambil menambah “@UNRWA menyediakan bantuan penting di #Gaza dan mempunyai mandat PBB untuk berbuat demikian,” katanya.

“Angkatan tentera Israel mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kakitangan PBB dan pekerja bantuan,” tegas kementerian itu dalam satu hantaran di X.

Switzerland menyifatkan serangan itu sebagai “mengerikan”, apabila orang yang dipindahkan yang berlindung di Kem al-Masawi dan Nuseirat turut diserang.

“Switzerland mengulangi bahawa semua pihak mesti mematuhi #IHL (undang-undang kemanusiaan antarabangsa). Orang awam dan pekerja kemanusiaan mesti dilindungi,” kata Kementerian Luar Switzerland di X.

Ia berkata gencatan senjata segera, pembebasan semua tawanan dan akses kemanusiaan tanpa halangan adalah “amat diperlukan”.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyifatkan serangan itu sebagai “benar-benar tragis”.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kengerian sebenar dan kehilangan nyawa di #Gaza,” katanya.

“Hospital, sekolah dan tempat perlindungan telah berulang kali dibom, mengakibatkan kematian orang awam dan pekerja kemanusiaan. Hati kami bersama rakan-rakan @UNRWA,” katanya.

“Kami berduka atas kehilangan enam lagi rakan sekerja,” katanya, sambil menuntut gencatan senjata supaya “pembunuhan beramai-ramai di Gaza” dihentikan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Cindy McCain, turut menyatakan kemarahan di X dan berkata agensinya “sangat sedih” dengan kehilangan enam kakitangan UNRWA akibat serangan udara Israel.

“Ini sama sekali tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” katanya, sambil menegaskan bahawa “pekerja kemanusiaan mesti dilindungi. Mereka bukan sasaran,” katanya.

Israel secara sistematik menyasarkan kemudahan awam, termasuk sekolah, hospital dan tempat ibadat, dalam serangan berterusannya ke atas Gaza.

Israel telah meneruskan serangan ganasnya ke atas Gaza sejak Oktober lepas, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.

Lebih daripada 41,100 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih 95,100 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel telah mengakibatkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu berpindah di tengah-tengah sekatan berterusan yang menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.

Israel menghadapi tuduhan melakukan genosid di Gaza, di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan