Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Foto arkib TVS

Nanta sertai Sidang Kemuncak Masa Hadapan Mobiliti di Dubai

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menghadiri Sidang Kemuncak Masa Hadapan Mobiliti di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Isnin depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sidang kemuncak yang akan disertai Nanta selaku Pengerusi Majlis Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (ITS) itu merupakan acara utama persidangan Kongres Dunia ITS ke-30.

“Sidang Kemuncak ini merupakan wadah terbaik mengangkat visi dan strategi yang telah dirangka untuk mencapai agenda pembangunan mobiliti mampan negara melalui inisiatif ITS selain platform meneroka potensi kerjasama antarabangsa dalam pembangunan ITS di Malaysia.

“Ia dijangka membincangkan amalan terbaik dalam memacu agenda pembangunan mobiliti mampan seterusnya dapat dijadikan panduan bagi menetapkan penanda aras baharu dalam usaha mencapai mobiliti yang lebih mampan pada peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Sidang Kemuncak Masa Hadapan Mobiliti itu dijangka disertai hampir 20,000 peserta dan 500 pempamer termasuk dif-dif kehormat dan pemimpin dari seluruh dunia meliputi negara Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Syarikat.

Selain itu, KKR memaklumkan Nanta juga akan mengetuai delegasi bagi menghadiri mesyuarat dan lawatan teknikal ke agensi-agensi tempatan berkaitan di Dubai dan syarikat Malaysia yang menawarkan kepakaran bagi projek-projek mega di Asia Barat.

“Sesi ini memberi peluang kepada KKR mempelajari, meneroka potensi kerjasama dan pemindahan teknologi dalam bidang ITS serta industri pembinaan termasuk pembangunan infrastruktur yang merupakan perkhidmatan teras kementerian, pada masa sama mempromosikan kepakaran kejuruteraan Malaysia di persada global,” menurut kenyataan itu.

UAE merupakan rakan dagangan, destinasi eksport dan negara sumber import kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat bagi 2023.

“Sebanyak 121 projek bernilai RM28.9 bilion telah dianugerahkan oleh UAE kepada syarikat-syarikat pembinaan Malaysia sejak 2009 hingga kini,” menurut KKR. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan