Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Kota Kinabalu, semalam. Foto Awang Azmil (TVS)

MA63: Pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah, Sarawak dipersetujui secara prinsip

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 13 Sept: Pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak telah dipersetujui secara prinsip, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, beliau berkata butiran lanjut mengenai perkara itu akan dibincangkan kemudian selepas persetujuan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) semalam.

“Kita telah mencadangkan pandangan kita kerana di bawah MA63 dan juga Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), disebutkan bahawa mesti ada perlindungan untuk mempertahankan perwakilan (Sarawak dan Sabah) di Parlimen.

“Ini bermakna kepentingan Sabah dan Sarawak adalah sekurang-kurangnya mempunyai 35 peratus perwakilan di Parlimen,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata MTPMA63 yang diadakan di Kota Kinabalu membincangkan empat agenda termasuk pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sarawak dan Sabah.

Selain itu, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Abang Johari, turut membincangkan laporan status terkini kemajuan tuntutan di bawah MA63.

Menurut Fadillah, agenda lain adalah mengenai perwakilan kuasa kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk melantik Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Guru Besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan.

“Turut dibentangkan, obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Duti Setem dikenakan ke atas instrumen pemindahan, caj serta menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah dan Sarawak,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan