Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Percepatkan projek naik taraf SMK Bario

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 12 Sept: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berharap projek naik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario disegerakan bagi menampung pelajar sehingga tingkatan lima.

Beliau berkata, setakat ini sekolah tersebut hanya menyediakan pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja.

Menurutnya, usaha menaik taraf SMK Bario turut mendapat sokongan padu komuniti tempatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Rancangan untuk membina beberapa sekolah menengah lebih lengkap di kawasan pedalam turut disokong Pengarah Pendidikan Sarawak (Datu Dr. Azhar Ahmad).

“Kunjungan terbaru Pengarah Pendidikan Sarawak baru-baru ini menunjukkan sokongan padu terhadap rancangan ini. Beliau memahami keperluan pelajar di kawasan terpencil seperti Long Banga, Pa Dali dan Lio Mato yang memerlukan akses pendidikan menengah lebih baik sebelum berpindah ke bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Aktiviti Pengumpulan Dana Program Pengembangan SMK Bario dan Kecemerlangan Sukan di sini, hari ini.

Gerawat menjelaskan, usaha tersebut diperjuangkan sejak pertengahan 1990-an oleh pemimpin tempatan yang mengidamkan anak mereka kekal di Bario untuk tempoh lebih lama sebelum berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran.

“Idea untuk menaik taraf sekolah ini sebenarnya dicadangkan sejak bertahun-tahun lalu oleh pemimpin masyarakat kita. Permintaan ini adalah kerana masyarakat setempat mahu anak-anak mereka tinggal dua tahun lagi di Bario sehingga tingkatan lima,” ujarnya.

Menurutnya, projek menaik taraf tersebut merangkumi bilik darjah baharu bagi tingkatan empat dan lima serta penambahan asrama untuk pelajar lelaki dan perempuan termasuk kemudahan sukan.

Tambahnya, SMK Bario pernah melahirkan beberapa atlet berbakat yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara walaupun tidak mempunyai kemudahan sukan.

“SMK Bario berjaya melahirkan bakat sukan seperti Kuda Ditta yang merupakan atlet pertama Sarawak mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik dan Menon Tulu, juara dunia dalam sukan Tang Soo Do.

“Malangnya, kebanyakan bakat pelajar lain lambat dikesan. Jika mereka diberikan latihan dan bimbingan awal, saya yakin mereka boleh mengembangkan potensi sepenuhnya untuk menjadi atlet negeri dan negara,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan