Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
China merekodkan keputusan kurang memberangsangkan pada saingan antarabangsa termasuk kalah besar 0-7 kepada Jepun minggu lalu. Foto, AFP.

Pemain bola sepak digantung seumur hidup terlibat rasuah

BEIJING, 10 Sept: Bola sepak China pada Selasa mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup ke atas 43 individu atas dakwaan perjudian dan terlibat kegiatan mengatur perlawanan.

Antara yang dikenakan hukuman berkenaan termasuk tiga bekas pemain antarabangsa China dan pemain Piala Dunia Korea Selatan Son Jun-ho, kata media kerajaan.

Di bawah pentabbiran Presiden Xi Jinping, negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengenakan tindakan keras terhadap rasuah dalam sukan di negara itu terutamanya bola sepak serta ramai pegawai atasan telah dipenjarakan.

Jinping mengakui beliau seorang peminat fanatik bola sepak serta mengimpikan negaranya akan menjadi tuan rumah dan memenangi Piala Dunia.

Cita -cita besar beliau bagaimanapun masih jauh untuk dicapai selepas skandal rasuah dalam padang berulang selain keputusan mengecewakan dicatatkan oleh pasukan kebangsaan negara itu di pentas antarabangsa.

Majoriti yang digantung merupakan pemain dan mereka dalam kalangan 128 orang disiasat selama dua tahun kerana disyaki terlibat perjudian haram dan mengatur perlawanan dalam saingan domestik, kata kementerian keselamatan awam China seperti dilaporkan oleh media kerajaan.

Perkembangan itu berlaku beberapa jam sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2026 yang menyaksikan China akan menentang Arab Saudi di tempat sendiri.

Minggu lalu, China mengalami kekalahan memalukan 0-7 kepada Jepun.

Persatuan Bola Sepak China (CFA) menuduh pemain Liga Super China pasukan Shandong Taishan, Jun-ho terlibat mengatur perlawanan dan menerima rasuah.

Pemain tengah antarabangsa Korea Selatan itu pernah bermain dalam tiga perlawanan ketika mewakili negaranya pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar.

Dia kembali ke Korea Selatan pada Mac lepas selepas ditahan di China sejak Mei 2023.

Beijing ketika itu menjelaskan, pemain itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah namun tidak memberikan butiran lanjut.

Turut berada dalam senarai larangan terlibat dalam aktiviti bola sepak seumur hidup ialah bekas pemain antarabangsa China, Jin Jingdao yang juga pemain Shandong Taishan.

Badan induk bola sepak China itu juga sedang meneliti untuk menggantung kira-kira 10 pegawai tinggi CFA yang telah dijatuhkan hukuman kerana rasuah.

Kerajaan pada Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Chen Xuyuan, bekas Pengerusi CFA kerana didakwa menerima rasuah.

Chen dikatakan mengambil kesempatan di atas jawatannya dalam CFA dan badan-badan lain untuk menerima secara haram wang berjumlah $11 juta, lapor akhbar People’s Daily milik Parti Komunis China.

Pada bulan sama, bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan China dan bekas pemain tengah Everton, Li Tie mengaku bersalah menerima rasuah lebih $10.7 juta bagi mengatur perlawanan.

Pada Mei, stesen CCTV melaporkan bekas Pengarah Pentadbiran Am Sukan China Gou Zhongwen sedang disiasat berkaitan rasuah.

Pada Ogos, mahkamah China menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun kepada Li Yuyi, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak China juga kerana kesalahan rasuah.

Dia juga didenda $140,000 manakala aset yang diperolehnya hasil perbuatan rasuah akan dirampas dan diserahkan kepada kerajaan, kata mahkamah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan