Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak berdasarkan aduan bagi memastikan keselamatan dan perlindungan terhadap kanak-kanak.

Jabatan Kebajikan Masyarakat siasat dakwaan eksploitasi kanak-kanak

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 10 Sept: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya di Sarawak memberi jaminan akan menjalankan siasatan terhadap sebarang aduan yang diterima berkaitan isu eksploitasi kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata JKM bertindak berdasarkan aduan bagi memastikan keselamatan dan perlindungan terhadap kanak-kanak terbabit.

“Apabila terdapat aduan berkaitan kanak-kanak dibuat secara formal, JKM akan turun padang.

“Kita (JKM) akan semak dari segi pendaftaran, sama ada pusat jagaan atau pusat perlindungan kanak-kanak itu berdaftar atau tidak dan perkara lain yang terdapat dalam aduan berkenaan contohnya dari segi bilangan kanak-kanak, adakah mereka didera, tinggal di tempat yang sempit atau dipaksa bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang tular mengenai sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) mengeksploitasi kanak-kanak yang didakwa berlaku di Kuching, baru-baru ini.

Jelasnya ini bukan kali pertama pihak JKM menerima aduan berhubung pusat jagaan berkenaan.

Justeru Fatimah memberi jaminan bahawa JKM akan mengambil tindakan sewajarnya susulan dakwaan berkenaan.

Ia bagi memastikan kanak-kanak tersebut diberi perlindungan serta mendapat hak mereka dari segi pendidikan dan sebagainya.

“Dahulu, saya sendiri turun padang sekali untuk melihat sama ada mereka ini mendapat pendidikan atau tidak, dijaga dalam persekitaran yang selamat dan kondusif atau sebaliknya.

“Pada masa itu, kita membuat siasatan dari segi pendaftaran, memang (pusat itu) berdaftar. Kanak-kanak juga dihantar ke sekolah berdekatan.

“Dakwaan lain seperti kanak-kanak tidur dalam keadaan sempit, juga sudah kita nasihatkan pada masa itu,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan pihaknya serta agensi-agensi berkaitan akan memastikan kanak-kanak tersebut dalam keadaan selamat dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku ke atas mereka.

Sekiranya terdapat mana-mana pusat jagaan yang didapati tidak mematuhi peraturan sedia ada yang ditetapkan, mereka boleh diarah untuk hentikan operasi.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata ketika dihubungi TVS mengesahkan tiada laporan polis diterima di Sarawak berhubung isu mengeksploitasi kanak-kanak yang tular baru-baru ini.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan