Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tehran menafikan menghantar peluru berpandu ke Rusia seperti didakwa maklumat perisikan Amerika Syarikat. Foto, AFP.

AS beri amaran ‘akibat bakal diterima’ Iran hantar peluru berpandu kepada Rusią

BRUSSELS, 10 Sept: Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin berkata, sekutunya telah berkongsi maklumat perisikan ‘yang boleh dipercayai’ bahawa Iran telah membekalkan Rusia dengan peluru berpandu balistik.

Washington juga memberi amaran yang Iran akan menerima akibatnya.

Dakwaan itu bagaimanapun ditolak oleh Tehran namun Kremlin tidak menafikannya.

Pegawai EU dan Amerika Syarikat (AS) berkata, jika maklumat itu benar, ia menunjukkan sokongan Iran terhadap Moscow yang menyerang Ukraine.

Media AS pada minggu lalu melaporkan bahawa Washington percaya Iran telah memindahkan senjata berkenaan ke Rusia untuk digunakan di Ukraine dengan memetik sumber tanpa nama.

“Kami menyedari maklumat boleh dipercayai yang diberikan oleh sekutu kami mengenai penghantaran peluru berpandu balistik Iran ke Rusia,” kata jurucakap EU, Peter Stano.

Tambah Stano, EU sedang meneliti maklumat itu dengan lebih lanjut dengan negara anggotanya dan jika disahkan, penghantaran berkenaan membawa maksud peningkatan sokongan berbentuk material yang ketara oleh Iran terhadap pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.

Stano menambah bahawa EU serta ‘rakan antarabangsanya’ akan bertindak balas dengan pantas termasuk mengenakan sekatan baharu dan ketara terhadap Iran.

Sementara itu jurucakap Kementerian Luar Iran Nasser Kanani berkata, negaranya dengan keras menolak dakwaan mengenai peranan mereka dalam mengeksport senjata ke satu pihak yang terlibat dalam perang.

Negara Barat telah lama memberi amaran kepada Tehran supaya tidak menghantar peluru berpandu ke Rusia manakala EU telah beberapa kali mengenakan sekatan kerana mendakwa membekalkan dron kepada Moscow untuk digunakan dalam perang di Ukraine.

Kremlin tidak menafikan perkara itu apabila ditanya secara khusus mengenai laporan Wall Street Journal yang menyebut Iran telah menghantar peluru berpandu.

“Kami telah melihat laporan ini, bukan setiap kali maklumat seperti ini adalah benar,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.

“Iran ialah rakan kongsi penting kami dan sedang membangunkan hubungan perdagangan dan ekonomi serta dalam semua bidang yang mungkin, termasuk kawasan paling sensitif,” katanya.

AS sebelum ini berkata sebarang penghantaran senjata akan menimbulkan tindak balas ‘teruk’ dan merosakkan usaha Tehran untuk memperbaiki hubungan dengan Barat berikutan pemilihan reformis Masoud Pezeshkian sebagai presiden baharu. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan