SEREMBAN, 8 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, yang merupakan R&R lestari pertama di lebuh raya negara ini.
Beliau berkata pembangunan R&R lestari pertama ini, merupakan permulaan penting terhadap arah tuju negara dalam menyantuni rakyat dengan memberikan keutamaan kepada kemudahan yang memanfaatkan mereka.
“Saya sudah lalu di lebuh raya berpuluh tahun, belum pernah ada (R&R) seindah ini dengan konsep lestari sebegini rupa. Rakyat Seremban dan Negeri Sembilan memang bertuah, ia satu permulaan yang baik bagi peniaga dan rakyat.
“Saya percaya ini menandakan satu permulaan penting dalam arah tuju negara kita, membangun tetapi memikirkan masalah rakyat di bawah, ini juga satu-satunya surau terbaik di R&R, menggunakan pengudaraan semula jadi, solar, air dan sebagainya, saya ucap terima kasih.
“Kemudahan hebat ini hanya ada di Seremban…kalau kita tekad untuk melakukan sesuatu yang baharu, lestari, insya-Allah kita boleh tingkatkan negara kita ke tahap lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan R&R itu, di sini.
Mengambil contoh projek Rumah Madani di Taman Desa di Kuala Lumpur yang beliau lancarkan baru-baru ini, Anwar berkata kelulusan projek itu berjaya disegerakan atas pertimbangan bahawa keperluan perumahan itu mendesak untuk golongan berpendapatan rendah.
“(Kalau) Mahu tunggu nak dapat kelulusan dua tahun…kos meningkat, tunggu lama, jadi apabila kita desak, kita tekan, pastikan peraturan diikuti jangan ada ketirisan dan jangan ada orang ambil kesempatan…ia boleh dilakukan, kalau kita ada pendirian jelas,” katanya.
Kawasan R&R Seremban (Arah Selatan) itu bukan sahaja menawarkan pelbagai kemudahan demi keselesaan pengguna lebuh raya, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dengan melahirkan lebih 500 usahawan kecil dan sederhana yang disokong ribuan pembekal daripada komuniti setempat. -TVS.