Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebanyak 354 daripada 600 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) telah beroperasi setakat ini. Foto hiasan Envato

354 menara SMART di Sarawak sudah berfungsi

KUCHING, 7 Sept: Sebanyak 354 daripada 600 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) telah beroperasi setakat ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau berkata baki 246 menara lagi dijangka beroperasi pada suku keempat 2025, dan melalui usaha itu kementerian yakin dan percaya rakyat akan menikmati akses Internet yang lebih pantas dan meluas.

“Langkah ini akan meningkatkan komunikasi dan capaian digital terutamanya di kawasan terpencil dengan penambahan menara yang sedang dibina secara berperingkat,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuching di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menterinya Datuk Liwan Lagang.

Julaihi berkata inisiatif berkenaan akan turut memberi perkembangan positif kepada ekosistem digital dan inovasi negeri melibatkan syarikat pemula, inovator dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Pada Mei lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata menara SMART berjaya diaktifkan menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) melibatkan perkhidmatan yang disediakan oleh CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL.

Sementara itu, program JSD yang memasuki edisi ke-78, dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) yang berlangsung dua hari hingga esok.

JSD ialah kesinambungan daripada Kempen Saya Digital yang diperkenalkan pada 2020 bertujuan membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani ekonomi digital. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan