Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kerajaan Sarawak lulus peruntukan RM10 juta bangunkan aplikasi pautan rekod pesakit – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 5 Sept: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta pada minggu lepas bagi membangunkan aplikasi digital pautan data pesakit untuk kegunaan hospital di seluruh wilayah ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi teknologi itu hospital boleh mengakses rekod pesakit dengan segera dan tepat.

Karenah birokrasi cabaran terbesar majukan sektor kesihatan di Sarawak – Abang Johari

“Teknologi digital ini akan meaghubungkan semua hospital di Sarawak di mana rekod pesakit boleh diakses oleh setiap fasiliti kesihatan.

“Misalnya, jika pesakit ke Hospital Umum Sarawak (HUS), rekod mereka disimpan di situ dan boleh diakses oleh doktor di Hospital Sibu jika mendapatkan rawatan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Negeri sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kebangsaan Ke-64 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Presiden Dipilih Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dato Dr. Kalwinder Singh Khaira.

Mengulas lanjut, Abang Johari menyifatkan langkah untuk membangunkan aplikasi itu menandakan kemajuan teknologi penting dalam sektor kesihatan di Sarawak membabitkan aspek penyimpanan dan kemas kini rekod pesakit.

“Sudah tentu pihak hospital perlu mendapatkan kebenaran daripada pesakit untuk berkongsi rekod.

“Kadang kala, rekod salah mengakibatkan tindakan tidak tepat, oleh sebab itulah ia sangat penting. Melihat kepada keperluan itu, Kerajaan Sarawak bersetuju meluluskan peruntukan RM10 juta,” jelasnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak turut meluluskan RM1 juta kepada HUS untuk menyokong latihan pakar dalam bidang berkaitan neuro dengan peruntukan itu akan digunakan untuk melatih kakitangan dalam mengendalikan peralatan perubatan canggih yang penting untuk pesakit strok.

Abang Johari menekankan keperluan untuk meningkatkan kepakaran terutamanya dalam mengendalikan kes berkaitan neuro.

“Saya melawat rakan saya di HUS, beliau mengalami penyakit strok dengan pakar saraf memberitahu saya bahawa mereka mempunyai peralatan, tetapi tidak mempunyai kepakaran yang cukup,” katanya

Abang Johari memberitahu, kos latihan bagi setiap pakar adalah kira-kira RM300,000 dan dana yang diperuntukkan akan menampung latihan sekurang-kurangnya tiga profesional perubatan.

Sementara itu, Abang Johari turut mendedahkan bahawa Kerajaan Sarawak turut bersetuju untuk membeli peralatan merawat penyakit neurologi untuk kegunaan hospital swasta milik kerajaan negeri iaitu Hospital Normah.

“Kita bersetuju untuk membeli peralatan untuk kegunaan rawatan neuro di Hospital Normah, tapi kita memerlukan pakar saraf. Bagi merawat orang yang mengalami masalah neuro, kami (Kerajaan Sarawak) perlu menghantar doktor kami ke latihan khusus,” katanya. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan