Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Abang Johari pada Jamuan Negeri sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kebangsaan Ke-64 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sebuah hotel di sini, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Karenah birokrasi cabaran terbesar majukan sektor kesihatan di Sarawak – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 5 Sept: Karenah birokrasi merupakan antara cabaran yang dihadapi Sarawak bagi menambah baik dan memajukan sektor kesihatan demi manfaat rakyat, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, masalah itu wujud ketika wilayah ini bercadang untuk menubuhkan pusat kanser walaupun perkara itu kini telah diselesaikan.

Kata Abang Johari, Sarawak telah memaklumkan kepada Putrajaya mengenai keperluan untuk memiliki pusat kanser namun wujud pelbagai perkara yang melambatkan perlaksanaannya.

“Saya beritahu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Sarawak akan menggunakan duit sendiri dahulu (untuk bina pusat kanser) dan kemudian Kerajaan Persekutuan membayarnya semula.

“Beliau bersetuju dengan formula itu dengan sekarang ini kita akan membina pusat kanser.

“(Ini dilakukan) demi keperluan rakyat, Kerajaan Sarawak dahulukan dana berjumlah RM1 bilion dahulu, inilah yang kita panggil birokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Negeri sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kebangsaan Ke-64 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Presiden Dipilih Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dato Dr. Kalwinder Singh Khaira.

Mengulas lanjut, Abang Johari bagaimanapun mengakui isu itu dapat diselesaikan apabila wujud sikap saling percaya antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu mengulas mengenai cabaran lain dihadapi wilayah ini dalam memajukan sektor kesihatannya, Abang Johari mendedahkan isu ekuiti, kebolehaksesan dan untuk menjangkau orang ramai merupakan halangan terbesar.

“Kita ada klinik tetapi ia daif, selain itu kita perlu pergi kepada mereka (pesakit), ia melibatkan masalah pengangkutan.

“Sudah tentu kita mempunyai ‘Dr Udara’ kerana memerlukan kebolehcapaian. Ini bermakna kerajaan perlu banyak berfikir, menyemak semula, dan memikirkan cara menghubungkan orang ramai dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan ini. Itulah sebabnya kami mengharapkan jalan raya, bekalan kuasa dan air untuk diberikan kepada kawasan luar bandar.

“Kadang-kadang dalam Persekutuan ia bagus, tetapi ada juga perkara yang tidak bagus. Perkara yang tidak baik ialah banyak birokrasi,” ujarnya.

Melihat kepada cabaran tersebut, Abang Johari berkata pihaknya terpaksa mengambil inisiatif mengeluarkan dana sendiri untuk menaik taraf jalan raya dan membina jambatan bagi memantapkan jaringan perhubungan dan pengangkutan di negeri ini.

“Sebab itu kerajaan negeri perlu berani apabila kita perlu membina jalan raya dan jambatan. Sejak empat tahun lepas, kita membelanjakan RM20 bilion untuk kemudahan penduduk luar bandar,” katanya.

AGM MMA yang dianjurkan serentak dengan Persidangan Saintifik berlangsung dari 5 hingga 7 September ini di Kuching yang melibatkan penyertaaan 400 deligasi dari seluruh negara. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan