Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom semasa membuat lawatan kerja di bangunan baru Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), hari ini. Foto Bernama

e-Tani jadi ejen perubahan pembangunan pertanian Sarawak

ByBernama

KOTA SAMARAHAN, 5 Sept: Platform e-Tani di bawah Jabatan Pertanian Sarawak bakal menjadi ejen perubahan bagi pembangunan pertanian negeri, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata e-Tani ialah sistem dalam talian komprehensif yang direka untuk merevolusikan cara petani menerima bantuan dan mengurus sumber mereka, di samping menjadi sistem dalam talian yang membolehkan petani mendaftar dan membuat profil.

“Platform ini membantu menjejaki aktiviti mereka, mengenal pasti perniagaan utama mereka, dan memahami keperluan khusus mereka,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke bangunan baharu Pertubuhan Peladang Sarawak (PPNS) di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata melalui platform itu, kerajaan boleh menyediakan petani dengan peruntukan sumber yang cekap berdasarkan keperluan mereka.

“Dengan menjejaki jenis pertanian dan keperluan khusus setiap petani melalui profil e-Tani mereka, sistem ini boleh memperuntukkan sumber dan bantuan dengan lebih cekap.

“Ini membantu mengelakkan situasi yang menyebabkan bekalan seperti baja diberikan kepada mereka yang tidak memerlukannya, sekali gus meminimumkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata platform itu menyediakan maklumat tentang tempat untuk mencari produk berkualiti terbaik dan cara mendapatkan barangan terbaik, membantu petani memahami pengkhususan produk serantau.

Sementara itu, PPNS dalam kenyataan berkata bangunan baharunya yang terletak di sini akan dibuka secara rasmi oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 Sept.

Bangunan yang dibina dengan kos kira-kira RM20 juta itu terdiri daripada pejabat utama, bilik mesyuarat, e-Kedai Peladang, dewan majlis, galeri jualan, pusat perniagaan, halaman pembenihan, Kiosk Input Agri, pasar tani dan kemudahan lain.

Pembangunan di bawah Fasa Dua dijangka bermula tahun depan yang akan merangkumi gudang untuk input dan pengangkutan pertanian, bilik sejuk untuk produk pertanian, kawasan kemudahan eksport untuk pelepasan kastam, dan kawasan lapang untuk dataran perayaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan