Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Operasi gelandangan pergiat saringan kesihatan

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 3 Sept: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) komited menangani isu gelandangan dengan giat melaksanakan pemantauan serta operasi menyelamat bersama agensi berwajib.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata operasi berkenaan melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama Majlis Pembangunan Sosial (MPS), Pejabat Residen, sukarelawan, pihak polis dan Jabatan Kesihatan.

Menurutnya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut melaksanakan ujian air kencing untuk menangani isu dadah dalam kalangan gelandangan.

Sementara itu, Fatimah memberitahu Jabatan Imigresen berperanan memantau warga asing yang menjadi gelandangan di Sarawak.

“Setakat ini, operasi bersepadu dari Kuching hingga Limbang hanya menemui satu kes warga asing. Kami terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan, dan NGO.

“Setiap agensi mempunyai peranan tersendiri. Setelah gelandangan dikumpulkan dan ditempatkan di Pejabat Residen, Jabatan Kesihatan akan menjalankan saringan kesihatan. Jika terdapat masalah mental, mereka akan dirujuk ke hospital, manakala warga asing akan diuruskan oleh Jabatan Imigresen.

“Kami juga mencari alternatif jika gelandangan tidak mempunyai saudara-mara atau menghadapi masalah kesihatan mental,” katanya ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Komuniti dan Kelangsungan Globesync (Globecores 2024) di Curtin University Malaysia, Miri di sini, pada Selasa.

Fatimah memetik kajian pada 2016 mendapati isu gelandangan berpunca daripada kemiskinan, kekurangan sumber kewangan, tiada tempat tinggal, serta masalah kesihatan mental.

“Terdapat juga punca pengaruh negatif seperti ketagihan alkohol, dan perjudian,” ujarnya.

Manakala hanya segelintir isu gelandangan kata Fatimah berkaitan jarak tempat kerja seseorang individu namun punca terbabit bersifat sementara.

Fatimah dalam pada itu mendedahkan sejak ditubuhkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Sibu telah menyediakan transit kepada 182 gelandangan (138 lelaki, 44 wanita),

“Daripada jumlah itu 161 telah keluar dan kini hanya tinggal 21 gelandangan (11 lelaki, 10 wanita) masih dalam transit,” katanya sambil mendedahkan TTG akan dibina di Kuching, Bintulu, dan Miri selepas penubuhan pertama di Sibu pada 6 Disember 2021.

TTG bertujuan menyediakan kemudahan transit sementara, perkhidmatan sokongan, dan rujukan intervensi untuk isu sosial gelandangan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan