Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki menyerahkan kunci rumah kepada mangsa rumah runtuh di Kampung Kudei Lama Tengah, Kuching, hari ini. Foto TVS

10 penghuni di Kampung Kudei ceria selepas terima kunci kediaman rumah baharu

ByAsmah Adenan

KUCHING, 3 Sept: Keceriaan jelas terpancar di wajah 10 penghuni yang kediaman mereka dibadai ribut pada Mei lepas di Kampung Kudei Lama Tengah di sini, selepas menerima kunci untuk kediaman baharu hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, pembinaan rumah baharu berkeluasan 850 kaki persegi itu memakan masa selama tiga bulan untuk disiapkan dengan nilai kos RM95,000.

“Untuk pembinaan rumah ini, tidak mudah disiapkan kerana keadaan tapak rumah yang agak sukar (sempit) bagi pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja pembinaan.

“Saya kira pihak kontraktor akan dapat siapkan pembinaan rumah ini pada hujung tahun ini, tetapi saya sangat bersyukur kerana pihak kontraktor berjaya menyiapkannya dalam tempoh yang singkat iaitu tiga bulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada mangsa di Kampung Kudei Lama Tengah, pagi tadi.

Menurutnya, keadaan rumah lama agak berbahaya (rendah) dan usang menyebabkan runtuhan itu berlaku.

“Kini pembinaan baharu, kontraktor meninggikan lagi rumah agar dapat mengelak daripada dimasuki air banjir.

“Rumah yang sekarang dibina agak selesa kerana mempunyai empat bilik, sesuai dengan bilangan penghuninya yang ramai kerana terdapat seorang warga emas berusia 93 tahun dan lima kanak-kanak yang masih bersekolah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, setiap tahun sekurang-kurangnya lebih 30 rumah di kawasan Satok akan dinaik taraf dan diberi bantuan bencana.

“Setiap tahun kita ada 33 buah rumah yang akan dinaik taraf, dan dana yang kita peroleh daripada Kerajaan Sarawak khasnya di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) adalah untuk membantu rakyat yang kurang mampu dan yang layak,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Abdul Malik Abu Bakar, 43, yang bekerja sendiri sangat lega dan berterima kasih kerana rumah baharunya itu siap dengan cepat.

Mangsa, Abdul Malik Abu Bakar bersama kakaknya, Salbiah Abu Bakar yang menerima kunci rumah baharu hari ini. Foto TVS

Menceritakan detik cemas yang berlaku semasa kejadian ribut, kata Malik, kejadian berlaku sekitar jam 4.15 petang,  semasa dia berada di masjid dan hanya anak-anak, isteri, ibu dan abangnya sahaja yang ada di rumah pada ketika itu.

“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja dan tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku.

“Runtuhan berlaku secara berperingkat bermula pada bahagian dapur, diikuti bahagian tengah dan akhirnya bahagian depan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang proses pembinaan baharu rumahnya, mereka sekeluarga menumpang di rumah saudara terdekat yang tidak jauh dari rumah lamanya.

“Rumah tersebut sudah wujud lebih 50 tahun lalu dan merupakan rumah warisan, saya sangat bersyukur atas bantuan yang telah diberikan ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan