Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Sukan SEA 2027: Sarawak diminta pilih separuh daripada 36 acara sukan

ByWilly Jali

KUCHING, 2 Sept: Kerajaan Sarawak diminta untuk memilih separuh daripada 36 acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Hamzah berkata, beberapa cadangan mengenai sukan yang dipilih sudah dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini cadangan tersebut belum dimuktamadkan kerana ada negeri lain berminat untuk menganjurkan satu atau dua sukan.

“Pulau Pinang menyatakan minat untuk menganjurkan hanya satu sukan. Satu lagi negeri (Sabah) meminta kepada kita (Sarawak) untuk berkongsi tugas menganjurkan beberapa sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Band & Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) 2024 di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.

Menurutnya, Sarawak juga bersedia menganjurkan beberapa acara berikutan kemudahan dan fasiliti sukan bertaraf dunia.

Tambahnya, kemudahan sukan di wilayah ini berada pada tahap terbaik selepas kerja menaik taraf dilaksanakan.

“Bagi acara tenpin boling, saya rasa tidak ada negeri lain yang mempunyai 42 lorong boling seperti di Megalanes.

“Kemudian terdapat juga lapang sasar menembak yang kini berada di kedudukan teratas di Malaysia selepas dinaik taraf pada Sukan Malaysia (SUKMA) lepas.

“Kita turut berharap acara renang, terjun dan boling tenpin dilangsungkan di Sarawak kerana kita mempunyai kemudahan terbaik,” ujarnya.

Karim menjelaskan, beliau yang mewakili Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan acara olahraga di Kuching.

“Kita tidak perlu memonopoli penganjuran acara sukan dan membiarkan orang lain dengan acara kurang penyokong.

“Namun kita menyerahkan kepada KBS mengenai acara sukan yang dilangsungkan di Sarawak pada Sukan SEA 2027,” jelasnya.

KBS dalam satu kenyataan minggu lalu menyatakan Malaysia bersetuju menerima tawaran Anggota Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 selepas mengambil kira komitmen Kerajaan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang untuk menjadi tuan rumah bersama.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan