Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan untuk melihat sendiri kesan banjir ke atas Sekolah Kebangsaan Nanga Bena, Kapit pada Ahad. Foto Pejabat Menteri Kerja Raya

SK Nanga Bena, Kapit perlu dibina semula

ByAsmah Adenan

KAPIT, 2 Sept: Sekolah Kebangsaan Nanga Bena, Sungai Sut di sini yang dilanda banjir baru-baru ini perlu dibina semula berikutan keadaan struktur sekolah tersebut yang sangat daif.

Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, struktur asal binaan sekolah tersebut yang didirikan pada tahun 1963 sudah tidak mampu lagi untuk menampung bencana alam sekiranya terjadi lagi.

“Nyawa anak-anak, guru-guru serta kakitangan di sini perlu diberi perhatian.

“Keseluruhan binaan sekolah, asrama dan kuarters yang menempatkan pelajar dan tenaga pengajar musnah ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat baru-baru ini.

“Saya dan ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang masing-masing menyumbang sebanyak RM30,000 dan RM10,000 kepada pihak sekolah bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan membeli keperluan segera pelajar-pelajar di sekolah ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, ketika kejadian keadaan di seluruh kawasan sekolah tersebut tenggelam hampir 100 peratus hingga ke bumbung.

“Tidak dapat saya bayangkan ketakutan dan kepayahan yang terpaksa dihadapi oleh 30 pelajar di sekolah rendah ini bersama guru-guru dan kakitangan berhadapan dengan bah yang datang ketika mereka sedang lena tidur.

“Saya turun dan melihat sendiri kerosakaan teruk yang menimpa sekolah ini yang sememangnya sudah dalam keadaan daif.

“Membuat kerja baik pulih sahaja tidak cukup untuk menghidupkan semula rumah ilmu buat anak-anak pedalaman di sini. SK Nanga Bena perlu dibina semula,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berkesempatan untuk meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjai yang turut terkesan akibat banjir dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada pihak sekolah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan semua yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa banjir di kedua-dua lokasi tersebut dan membantu kerja-kerja pembersihan segera.

“Sebagai Ahli Parlimen Kapit, saya akan berusaha sehabis baik mendapatkan fasiliti sekolah yang terbaik bagi anak-anak dan guru-guru di sini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan