Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Muara Bunut, Bintangor pada Ahad. Turut kelihatan, Yusuf Abd Wahab. Foto TVS

Abdullah saran kerajaan pertimbang bantuan alat pemadam api untuk rumah panjang di pedalaman

BINTANGOR, 2 Sept: “Alat pemadam api amat diperlukan untuk rumah panjang terutama yang jauh dari jangkauan perkhidmatan bomba.”

Itu kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol ketika diminta mengulas insiden kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Muara Bunut di sini.

Datuk Abdullah Saidol dan Yusuf Abd Wahab menyantuni mangsa-mangsa kebakaran. Foto TVS

Beliau berkata, penempatan kaum Iban yang sebahagian besarnya rumah panjang merupakan salah satu warisan tradisi kebanggaan dan keunikan di Sarawak.

“Ada antaranya masih mengekalkan tradisi lama namun tidak kurang juga yang sudah berwajah moden. Bagi rumah panjang di pedalaman yang masih menggunakan binaan kayu, berisiko tinggi terdedah dengan tragedi kebakaran.

“Kebakaran adalah sesuatu yang perlu dielak justeru, sudah tiba masanya kerajaan wajar memberi perhatian mewujudkan skim bantuan khas seperti pemberian alat pemadam api untuk setiap pintu rumah panjang,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran pada Ahad.

Beliau turut menzahirkan perasaan sedih atas insiden kebakaran rumah panjang yang berlaku dua kali dalam tempoh masa empat bulan di kawasannya. “Ramai yang hilang tempat tempat tinggal dan harta benda. Keadaan ini amat menyedihkan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut mencadangkan supaya bantuan penginapan sementara disediakan kepada mangsa kebakaran terutama bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian itu.

Menurutnya, bantuan itu mungkin boleh disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi yang berkaitan dalam bentuk penyewaan kediaman sementara menunggu proses bina semula rumah mangsa siap sepenuhnya.

Ujarnya, perkara itu sering kali dibangkitkan mangsa sekali gus menjadi dilema besar terutama bagi mereka yang terpaksa menumpang di rumah keluarga atau jiran dalam tempoh yang agak lama. “Bencana begini (kebakaran) tidak ada siapa yang mahu dan malang bagi mangsa yang mempunyai ramai ahli keluarga dalam sebuah rumah.

Sudah pasti mereka berdepan cabaran yang amat besar. “Saya yakin perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak atasan, supaya perkara ini dapat dimasukkan dalam pelbagai bentuk bantuan kerajaan untuk rakyat yang terkesan akibat bencana,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Jawatankuasa Bencana Alam Negeri supaya menguar-uarkan bantuan RM70,000 untuk bina semula rumah kediaman yang musnah akibat kebakaran. Usaha itu ujarnya, penting kerana masih ramai penduduk yang belum tahu mengenainya.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat membantu mengadakan road show atau sesi penerangan kepada masyarakat terutama di kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman dan luar bandar yang jauh dari kawasan perkhidmatan bomba,” katanya.

Turut menghulurkan sumbangan awal, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Petronas yang menyumbangkan makanan dan keperluan asas. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan