Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Raja Charles III. Foto AFP

Raja Charles III, diplomat asing zahir ucapan tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-67

ByBernama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Pemerintah United Kingdom (UK) Raja Charles III dan diplomat asing di Malaysia menzahirkan ucapan tahniah kepada negara sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang disambut pada Sabtu.

Dalam mesej yang dimuat naik di platform media sosial Suruhanjaya Tinggi United Kingdom (UK), Raja Charles III menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak baginda dan permaisuri, sambil menzahirkan kekaguman terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Sempena Hari Kebangsaan yang istimewa ini, beta dan permaisuri ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dan rakyat Malaysia.”

“Beta menghargai ikatan erat yang terjalin antara negara kita, dan beta yakin bahawa hubungan kita akan terus berkembang dalam tahun ulang tahun yang sangat istimewa ini – peringatan yang sesuai tentang nilai dan aspirasi berkekalan yang menyatukan kita,” titah Raja Charles.

Menekankan kerjasama moden antara kedua-dua negara, Raja Charles bertitah berkenaan peningkatan kerjasama dalam pelbagai sektor dan mengiktiraf komitmen bersama dalam menangani cabaran global, khususnya perubahan iklim.

“Beta juga meraikan perkongsian moden antara negara kita dan kerjasama yang semakin erat dalam perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan dan keselamatan.

Menangani perubahan iklim adalah keutamaan bersama, dan beta mengalu-alukan usaha bersama kita untuk melindungi kepelbagaian biologi dan menggalakkan peralihan tenaga bersih,” titah baginda.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan turut menzahirkan ucapan tahniah, mengiktiraf kerjasama erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“AS telah berdiri bersama Malaysia sejak hari pertama kemerdekaan anda. Selama 67 tahun, kita telah membina kerjasama kukuh yang berakar umbi dalam hubungan ekonomi, keselamatan, dan hubungan antara rakyat yang rapat.

Tahun ini, kita meraikan ulang tahun ke-10 perkongsian komprehensif kita, dan hari ini, hubungan antara kedua-dua negara kita lebih kukuh berbanding sebelum ini dan terus mendalam ketika kita mencapai kemajuan menuju matlamat bersama untuk Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, selamat, dan makmur.

Kami berharap dapat meneruskan persahabatan dan mengukuhkan kerjasama kita,” katanya.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Wallace turut berkongsi penghargaannya terhadap kekayaan kepelbagaian budaya negara.

“Saya merasai keistimewaan untuk menghadiri perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya hari ini. Ia adalah satu paparan kepelbagaian dan kebersamaan yang mengagumkan, terutamanya Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI, yang mempamerkan pakaian tradisional, alatan, dan persembahan daripada pelbagai komuniti etnik dengan begitu hebat.

Saya tahu Hari Kebangsaan turut disambut oleh ramai rakyat Malaysia di UK (United Kingdom) dan oleh komuniti British di Malaysia juga. Hubungan erat antara rakyat kita menjadi asas kukuh untuk membina kerjasama moden antara UK dan Malaysia,” kata Wallace.

Berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang bersejarah, Duta Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi menzahirkan ucapan selamat untuk kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia yang berterusan.

“Bagi pihak Kedutaan Jepun, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia. Semoga Malaysia terus dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran untuk beberapa tahun akan datang,” kata Takahashi.

Dalam satu hantaran di platform media sosial X, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke mengucapkan:“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-67 kepada Semua Rakyat Malaysia!”

Hantaran Pesuruhjaya Tinggi itu diiringi dengan tanda pagar #merdeka dan #nationaldaymalaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan