Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol

Pertahankan hak seperti menjaga keluarga sendiri

ByMahathir Haroun

KUCHING, 31 Ogos: Rakyat Sarawak perlu mempertahankan hak dan kepentingan negeri ini seperti menjaga keluarga sendiri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pada masa sama rakyat negeri ini seharusnya merasa bangga dan megah menjadi warganegara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Malah menurutnya, Malaysia sebenarnya sebuah negara yang indah dan aman.

“Marilah kita berganding bahu dan sejiwa senada dalam menjaga kedaulatan negara.

“Kalau kita berjalan bersendirian, kita berjalan cepat tapi kalau kita berjalan bersama kita mampu berjalan jauh,” katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-67.

Abdullah berkata, tema Hari Kebangsaan tahun ini, jiwa merdeka memberi pengertian besar dalam pelbagai konteks.

“Sebagai seorang manusia, perkataan jiwa ini saya kaitkan dengan jati diri, naluri semulajadi manusia, iman dan kerohanian.

“Merdeka pula bukan hanya bermaksud kebebasan daripada cengkaman penjajah, ia juga berkait dengan bebas daripada kesusahan, bebas daripada kekacauan dan bebas memilih halatuju kehidupan, asalkan tidak menyalahi undang-undang serta menyusahkan ibu bapa dan masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, setiap rakyat juga bebas bersuara meluahkan pendapat asalkan tidak berbaur kebencian atau hasutan selain bebas untuk menikmati kehidupan yang makmur.

“Setiap daripada kita sudah pasti mahu bebas daripada kerisauan ancaman jenayah, bebas untuk menikmati keadilan undang-undang, bebas untuk bekerja, berkhidmat dan berbakti, bebas beragama serta bebas untuk berniaga dan membina kedudukan ekonomi keluarga,” jelasnya.

Abdullah menjelaskan, semua kebebasan tersebut bukan mutlak kerana negara ini mempunyai undang-undang.

“Tema jiwa merdeka termaktub, tersurat dan tersirat dalam rukun negara.

“Ia (tema) juga bermaksud warganegara impikan pemimpin negara berjiwa besar yang mendahului kepentingan tanah air, bangsa dan agama,” kata Abdullah.

Tambahnya, tema tersebut bermaksud negara ingin merdeka atau bebas daripada kepimpinan yang lemah, tidak berintegriti dan amalan politik membinasakan.

“Di luar negara, kita tahu berlaku pelbagai pertelingkahan dan penderitaan manusia.

“Apakah kita mahu suasana itu berlaku di negara kita?

“Kita mahu jiwa dan akal kita sentiasa tenang untuk menikmati kehidupan yang aman dan merdeka daripada dijajah atau dikongkong oleh pelbagai elemen serta sentimen negatif,” tambahnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan