Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua jurulatih Skuad Kebangsaan Pau Marti Vicente ketika sidang media semasa sesi latihan skuad kebangsaan dalam persiapan menghadapi Pesta Bola Merdeka 2024 di Wisma FAM semalam. Foto Bernama

Vicente ada enam perlawanan bukti keupayaan kendali Harimau Malaya

ByBernama

PETALING JAYA, 30 Ogos: Pengendali baharu pasukan bola sepak negara Pau Marti Vicente diberikan masa hingga Disember ini untuk membuktikan keupayaan sebagai ketua jurulatih.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata dalam tempoh itu sebanyak enam perlawanan persahabatan antarabangsa telah diatur untuk skuad Harimau Malaya.

Hamidin berkata enam aksi itu medan buat Vicente dan pasukan mempersiapkan diri menjelang Kejohanan ASEAN 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Disember, selain kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun depan.

“Fasa enam perlawanan ini mustahak untuk Pau (Vicente) melihat kemampuan dan meneruskan kesinambungan pasukan Harimau Malaya untuk dapatkan mata ranking. Apa yang penting kita kena terus mempamerkan aksi yang baik dan meraih mata ranking.

“Saya harap dengan semua yang ada termasuk barisan kakitangan teknikal pasukan yang sama (kecuali ketiadaan Kim Pan Gon) dapat membentuk pasukan yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Enam perlawanan persahabatan antarabangsa itu merangkumi dua aksi Pestabola Merdeka 2024 yang bermula bulan depan, diikuti dua lagi perlawanan masing-masing pada Oktober dan November.

Sementara itu, Hamidin berkata dalam memberikan ruang kepada Vicente mengemudi pasukan negara, FAM tidak menutup pintu kepada mana-mana jurulatih lain yang berminat membimbing Malaysia.

Tanpa mendedahkan sepenuhnya, beliau berkata bekas pengendali Vietnam Park Hang-seo antara nama besar yang berada dalam senarai FAM bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas ketua jurulatih Kim Pan Gon yang meletakkan jawatan secara mengejut, bulan lepas.

“Tapi dalam proses (peluang) itu saya sedang melihat (jurulatih lain), sebenarnya banyak ketua jurulatih setelah pemergian Pan Gon menghubungi saya, banyak nama-nama besar, Park Hang-seo salah satu,” kata Hamidin.

Pada masa sama, beliau berkata antara kriteria utama yang dilihat dalam mencari ketua jurulatih baharu adalah dari segi kemampuan memahami kualiti dan potensi pemain tempatan serta ‘membaca’ keupayaan lawan terutama menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

“Jadi orang (jurulatih) ini mesti memahami aspek individu pemain kita dan memahami musuh kita terutamanya untuk pusingan kelayakan tahun depan. Seorang jurulatih mesti ada pengetahuan ini. Saya akan senarai pendekkan dan membuat penilaian sambil tunggu persembahan Vicente,” katanya.

Aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu depan akan menjadi tugasan pertama Vicente selepas pelantikannya susulan peletakan jawatan Pan Gon, bulan lepas.

Vicente sebelum ini merupakan penolong kepada Pan Gon sejak 2022. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan