Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Dr Wan Junaidi (enam kiri) dan isteri merakam gambar kenangan ketika melawat Galeri RASCOM di Sibu. Foto TVS

Tun Dr Wan Junaidi lawat galeri RASCOM, imbau memori menentang ancaman komunis bersama PDRM

SIBU, 30 Ogos- Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, mengadakan lawatan rasmi ke Galeri Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) di Kem RASCOM, Sibu hari ini.

Lawatan tersebut bukan sahaja menandakan penghormatan kepada usaha pemeliharaan sejarah ketenteraan di Sarawak, tetapi juga memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Sarawak dan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Selain itu, lawatan berkenaan turut memberikan penghormatan kepada Tun Dr. Wan Junaidi yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menentang ancaman komunis semasa era perjuangan RASCOM.

Sebelum memulakan lawatan, beliau telah diberikan taklimat oleh Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun.

Galeri RASCOM yang ditubuhkan pada tahun 2012, adalah hasil ilham Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 9 Briged yang Ke-18.

Galeri tersebut mempamerkan artifak penting yang merangkumi sejarah penubuhan dan pengoperasian RASCOM dan dibahagikan kepada enam bahagian utama termasuk pelan utama RASCOM, penubuhan, aktiviti, operasi ketenteraan, sejarah unit dan pembangunan kawasan keselamatan.

Tun Dr. Wan Junaidi memulakan kerjayanya dengan menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1964 dan
Beliau kemudiannya berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973.

Pada masa tersebut, beliau terlibat secara aktif dalam operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di kawasan Miri, Sibu dan Kapit.

Dalam tempoh itu juga, beliau juga pernah bertugas di RASCOM dan mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.

RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, melalui Direktif No. 4 Majlis Keselamatan Negara.

Ia bertujuan mengawal kegiatan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang semakin meningkat di kawasan tengah Sarawak. Kawasan tanggungjawab RASCOM meliputi 58,544 kilometer persegi, termasuk daerah Sarikei, Mukah, Sibu, dan Kapit.

Lawatan itu juga menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong usaha Tentera Darat Malaysia untuk meningkatkan keselamatan dan pertahanan negeri.

Keakraban antara kedua-dua entiti tersebut adalah penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan Sarawak terus terpelihara, seiring dengan perkembangan strategik dan kontemporari dalam konteks pertahanan negara.

Antara yang turut hadir ke lawatan tersebut adalah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi bin Md Lepi dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan