Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
AirAsia hari ini melancarkan semula penerbangan ke Sabah dan Sarawak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas 24 tahun pelancaran perkhidmatan pertamanya. Foto AirAsia

AirAsia lancar semula penerbangan ke Sarawak, Sabah

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 30 Ogos : AirAsia hari ini melancarkan semula penerbangan ke Sabah dan Sarawak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas 24 tahun pelancaran perkhidmatan pertamanya.

Penerbangan pertama, AK4102 dari Kota Kinabalu, berlepas pada jam 6:25 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 9:00 pagi.

Berdasarkan laporan berita Dagang News, ketibaan pesawat tersebut disambut oleh pihak pengurusan Capital A dan AirAsia, diikuti dengan majlis pelepasan penerbangan AK4235 ke Kuching yang berlepas pada jam 9:30 pagi dari Subang.

AirAsia menerusi laporan berita itu melaporkan penyambungan semula perkhidmatan ke Lapangan Terbang Subang ini akan memperkukuh jaringan penerbangan domestik di Malaysia.

Pada tahun 2023, syarikat itu mengangkut lebih daripada 14 juta penumpang dalam rangkaian domestiknya dengan 918 penerbangan setiap minggu.

Dengan pembukaan operasi di Subang, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk meningkatkan jumlah penumpang domestik.

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata, penyambungan semula operasi penerbangan di Subang ke Sabah dan Sarawak menunjukkan usaha berterusan syarikat untuk terus berkembang dan menetapkan standard baharu dalam industri penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes yang juga Penasihat AirAsia Aviation Group, menambah bahawa rancangan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang akan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan utama di rantau ini.

“Langkah untuk menyambung semula perkhidmatan pesawat satu lorong di sini adalah langkah penting dalam memodenkan lapangan terbang ini menjadi terminal bandar yang berpotensi tinggi dan pusat bagi pelancong perniagaan,” kata beliau.

Menurut beliau, AirAsia kini berada pada kedudukan terbaik untuk memperluas perkhidmatan melalui perniagaan di bawah Capital A seperti Teleport, MOVE, Asia Digital Engineering, Santan, GTR, dan lain-lain, serta berkomitmen untuk menyumbang kepada transformasi industri penerbangan Malaysia.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra, mendedahkan bahawa lokasi strategik lapangan terbang ini yang dekat dengan pusat bandar dan kawasan setempat menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih fleksibel dan optimum bagi para penumpang, terutamanya yang membuat perjalanan ke dan dari Sabah dan Sarawak.

“Kami berhasrat menjadikan Subang sebagai hab keenam AirAsia di Malaysia pada masa akan datang, memperluas lagi jaringan kami dan meningkatkan kebolehcapaian bagi pengembara di rantau ini,” tambahnya lagi.

Dengan pengembangan ini, AirAsia akan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan domestik dengan rangkaian paling luas di Malaysia, meliputi 40 laluan domestik dan menjangkau 1,860 penerbangan setiap minggu menjelang akhir Disember 2024. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan