Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 di Sydney hari ini. Foto Aziz Soleh (TVS).

Sarawak peneraju ekonomi hidrogen di rantau ASEAN

SYDNEY, 29 Ogos: Penglibatan Sarawak dalam ekonomi hidrogen meletakkan wilayah berkenaan sebagai peneraju utama sektor tenaga bersih dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi konteks kebangsaan pula, Sarawak merupakan pemain utama kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Jelas beliau, NETR antaranya akan membangunkan hab hidrogen hijau, dipacu oleh potensi kuasa hidro yang luas.

“Ekonomi baharu ini (sangat) menarik kerana membuka banyak peluang pelaburan, (bermula dengan) membangunkan teknologi baharu seperti elektroliser dan sel bahan api kepada membina sistem penyimpanan tenaga dan (seterusnya) mengintegrasikan penggunaan dalam sektor pengangkutan.

“Dalam ucapan di forum (Regions for the Planet) H2Poland 2024 di Poznan, Poland baru – baru ini, saya telah menekankan kepentingan kerjasama global yang kritikal, dasar yang berkesan dan inovasi tanpa henti dalam membina masa depan yang mampan.

“Saya juga telah membangkitkan bagaimana bon hijau dan pembiayaan antarabangsa adalah penting untuk mempercepatkan penggunaan teknologi iklim maju, yang menunjukkan bahawa kaedah kewangan ini adalah kunci untuk menjadikan matlamat mampan kita satu kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk Sarawak: The Powerhouse Of Green Economy In ASEAN pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney, Australia di sini hari ini.

Forum Perniagaan Australia-ASEAN tahun ini berlangsung sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Australia dengan negara – negara ASEAN.

Agenda forum pada tahun ini membincangkan topik penting termasuk pertanian, keselamatan makanan serta tenaga boleh diperbaharui dan hijau dengan tumpuan khusus pada penyahkarbon, transformasi digital dan ketahanan perubatan dan kesihatan.

Sementara itu tambah Abang Johari, Sarawak bukan sekadar mengejar tenaga mampan dan ekonomi hijau malah komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih.

Jelas beliau ini dilaksanakan melalui usaha menyahkarbon sektor pemancar tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Dengan melabur dalam hidrogen hijau dan tenaga bersih, kami (Sarawak) bergerak melangkaui industri tradisional seperti minyak, gas dan kayu.

“Matlamat saya jelas, untuk meningkatkan produktiviti ekonomi dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Dengan menerima inovasi dan tenaga bersih, kami berusaha untuk memastikan Sarawak membina masa depan yang berkembang dengan penuh tanggungjawab dan menjadi model untuk diikuti oleh orang lain,” tambahnya.

Tambah beliau, Sarawak mengorak langkah yang ketara di Asia Tenggara apabila terlibat dalam industri Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Malah tambah Abang Johari Sarawak menjadi wilayah pertama di Malaysia meluluskan undang-undang yang menyokong CCUS dan aktiviti berkaitan karbon lain.

“Ini menunjukkan komitmen kami yang kunt untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih ditetapkan dan menetapkan penanda aras,” ujarnya.

Abang Johari kemudian menyertai enam ahli panel lain mengambil peluang membincangkan visi ekonomi hijau dalam diskusi khas selama 45 minit. – TVS.

 

 

Wartawan TVS, Radzi Ahmad dan jurukamera, Azis Soleh melaporkan dari Sydney, Australia.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan