Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 di Sydney, Australia pada Khamis. Foto Aziz Soleh (TVS)

PCDS 2030 pacu Sarawak sebagai kuasa ekonomi hijau

ByRadzi Ahmad

SYDNEY, 29 Ogos: Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 memacu perjalanan Sarawak mencapai matlamat sebagai kuasa ekonomi hijau di rantau ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata PCDS 2030 telah mewujudkan asas yang kukuh untuk ekonomi yang berdaya tahan dan mampan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar.

Menurutnya, PCDS 2030 juga menekankan keperluan untuk ekonomi yang pelbagai didorong oleh data, inovasi, keterangkuman, kemampanan yang memastikan kemajuan Sarawak berwawasan dan bertanggungjawab.

“Sarawak berada pada titik kritikal yakni kita mesti memisahkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) daripada penggunaan tenaga dan sumber yang tidak mampan.

“Peralihan ini tidak akan berlaku dengan sendirinya. Ia memerlukan Sarawak untuk menerima dasar ekonomi hijau untuk memacu peralihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 berjudul ‘The Powerhouse Of Green Economy In ASEAN’ bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney, Australia, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, dasar ekonomi hijau Sarawak memfokuskan kepada tiga matlamat utama. Pertama, melindungi kepelbagaian biologi dan sumber unik Sarawak dengan dedikasi semulajadi yang lengkap.

Kedua, kerajaan Sarawak berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat sambil menghormati dan memelihara budaya asli yang kaya.

Kerajaan Sarawak jelasnya juga komited untuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui penggunaan sumber yang mampan, memastikan pertumbuhan ekonomi tidak membawa kepada penggunaan sumber berlebihan dan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang tinggi.

“Dasar ekonomi hijau Sarawak bukanlah matlamat akhir tetapi perjalanan transformatif.

“Ia menghimpunkan pelbagai aspek seperti dasar, tadbir urus dan pembangunan untuk memacu perubahan sebenar,” tambahnya.

Forum Perniagaan ASEAN Australia yang berlangsung dari 29 hingga 30 Ogos mengumpul pemimpin untuk berkongsi kepakaran mereka dalam pelbagai isu seperti pertanian, keselamatan makanan, tenaga hijau dan diperbaharui.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Hipni, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama delegasi Kerajaan Sarawak mengadakan taklimat bersama Timbalan Menteri Perdagangan dan Pembuatan Australia, Senator Tim Ayres serta delegasi dari Australia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan