Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Majlis Perasmian SUKMA Sarawak yang berlangsung malam hadi mendapat pujian pelbagai pihak. Foto, Nadhim (TVS).

Persaingan sengit Sarawak, W.Persekutuan bukti SUKMA tetap kompetetif

ByFirdaus Ismail

KEMERIAHAN Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak masih diperkatakan biarpun sudah empat hari temasya melabuhkan tirai.

Apa yang turut menarik perhatian berlaku persaingan cukup sengit membabitkan tuan rumah dengan Wilayah Persekutuan (WP) bagi merebut gelaran juara keseluruhan.

Perebutan itu hanya dinoktahkan beberapa jam sebelum temasya ditutup pada 24 Ogos sekali gus mencerminkan SUKMA masih kompetitif dan menghadirkan keterujaan kepada peminat sukan.

Boleh dikatakan sudah lama SUKMA dipandang sepi malah beberapa edisi lalu, penganjurannya seolah-olah tidak disedari.

Berbalik kepada saingan sengit kali ini, ia mengimbas kembali SUKMA 2016 ketika Sarawak turut menjadi tuan rumah.

Ketika itu Selangor muncul juara keseluruhan dengan 57 emas menewaskan Sarawak yang kekurangan dua emas.

SUKMA 2024 menyaksikan pingat emas ke-76 kontinjen yang terkenal dengan slogan Agi Idup Agi Ngelaban disumbangkan oleh Cassandra Lavigne Shelden menerusi acara gimnastik artistik senam lantai wanita kira – kira pukul 5 petang hari terakhir SUKMA.

Sarawak muncul juara SUKMA 2024 yang berakhir semalam. Foto, Bernama.

Sarawak meraih emas pertama menerusi Stephanie Ngu Chai Een dalam acara wushu (Changquan) pada 14 Ogos.

Di kem WP, percubaan terakhir mereka untuk menyamai jumlah pingat emas Sarawak disandarkan di bahu pemain pingpong lelaki Jin Zhen Im kira – kira pukul 5 petang pada hari penutup.

Namun Zhen Im tewas 0-4 kepada Wong Qi Shen dari Kedah dan sekiranya dia menang, WP akan muncul juara keseluruhan kerana berkelebihan pingat perak.

Sarawak sah ditabalkan sebagai juara SUKMA dengan pungutan 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Ini merupakan kejuaraan SUKMA kali keempat buat Bumi Kenyalang selepas 1990 (di Kuching) 1992 (Johor Bahru) dan kali terakhir pada 1994 di Ipoh, Perak.

WP akur sebagai naib juara dengan kutipan 75 emas, 65 perak dan 72 gangsa.

Selangor pula melengkapkan senarai tiga kontinjen terbaik menerusi catatan 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.

Sarawak konsisten pada SUKMA walaupun bukan sebagai tuan rumah

Kejayaan Sarawak dalam arena sukan menunjukkan pertumbuhan sukan yang pesat di wilayah berkenaan, kata pemerhati sukan.

Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata, Sarawak sebenarnya sudah lama menunjukkan taring dalam acara sukan.

Kata beliau, banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan terbaharu Sarawak pada SUKMA termasuk keupayaan kontinjen itu memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah.

Tambahnya, atlet yang menyarung jersi Sarawak turut menerima sokongan padu penyokong tempatan selain kemudahan latihan telah dipertingkatkan.

Pertunjukan laser dan dron menggamit keterujaan lebih 40,000 pengunjung yang hadir pada upacara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak malam ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

“(Saya perhatikan) Sarawak juga kerap kali berada pada kedudukan kedua atau ketiga, membuktikan mereka sebagai pesaing yang konsisten.

“Ini dapat dilihat pada edisi 1998, 2004, 2006, 2008, 2010, 2016 dan 2018.

“Berdasarkan analisis, saya berpendapat sejarah SUKMA menunjukkan bahawa kejayaan negeri-negeri dalam temasya ini sering berkait rapat dengan pelaburan dalam pembangunan sukan, sokongan pentadbiran negeri dan keupayaan untuk memanfaatkan kelebihan tuan rumah,” katanya.

Jelas Mohamad Nizam dapat juga diperhatikan bahawa Selangor, WP, Sarawak dan Terengganu telah menunjukkan bahawa dengan strategi yang tepat serta fokus pada pembangunan jangka panjang, mereka dapat menjadi kuasa utama dalam sukan di Malaysia.

Persaingan sengit antara Sarawak dengan WP mencerminkan pentingnya SUKMA

Mengenai persaingan sengit Sarawak dengan WP, Mohamad Nizam berkata, SUKMA bukan sekadar tentang pengumpulan pingat tetapi juga mencerminkan kebanggaan, maruah dan dedikasi setiap negeri dalam usaha membangunkan bakat sukan.

“Situasi Sarawak sebagai tuan rumah dengan hanya mendahului satu pingat emas beberapa jam sebelum temasya berakhir, menambah elemen drama dan ketegangan dalam persaingan.

“Sebagai tuan rumah, Sarawak berada di bawah tekanan yang lebih tinggi untuk mencapai kejayaan sebagai juara keseluruhan.

Pasukan Wilayah Persekutuan menuai pingat emas lagi menerusi beregu wanita Ping pong. Foto TVS

“Kelebihan satu pingat emas tidak memberikan banyak ruang untuk berasa selesa, sebaliknya menambah desakan untuk memastikan kemenangan.

“Ini meletakkan Sarawak dalam keadaan kritikal, di mana setiap keputusan dan prestasi atlet menjadi sangat penting,” katanya.

Dari sudut pandang strategik, beliau berpendapat Sarawak dan WP sudah menilai dengan teliti baki acara yang tinggal bagi menentukan di mana peluang terbaik untuk meraih pingat emas.

“Keputusan taktikal, termasuk perubahan minit terakhir dalam penyertaan atlet, mungkin diambil untuk memaksimumkan peluang kemenangan.

“Bagi Sarawak, kejayaan menjadi juara keseluruhan di tanah air sendiri adalah satu impian besar yang pasti memacu motivasi atlet mereka untuk berusaha lebih keras.

“Mereka akan berusaha untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada bagi memastikan kemenangan,” katanya.

Sarawak, W.P sama hebat di kolam, dominasi renang dan terjun

Berdasarkan 36 sukan yang dipertandingkan, Sarawak muncul juara acara terjun, golf, Muaythai, petanque, skuasy, taekwondo dan boling tenpin.

Tujuh sukan ini menyumbang sebanyak 39 pingat emas kepada tuan rumah atau hampir 30 peratus jumlah pingat emas keseluruhan yang dimenangi.

Sarawak juga unggul dalam acara renang apabila meraih sembilan pingat emas.

Acara pencak silat yang berlangsung di Miri juga tidak kurang hebatnya apabila Sarawak berhasil merebut lima emas.

Penguasaan Sarawak dalam acara terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 wajar diberikan pujian namun pada masa sama negeri-negeri lain diharap seiring meningkatkan pembangunan di peringkat akar umbi. Foto Faitullah Morni (TVS)

Namun taekwando menjadi sukan paling cemerlang apabila menyumbang emas terbanyak iaitu 11 butir kepada tuan rumah.

Bagi WP, dominasi mereka di kolam renang sukar digugat apabila berjaya meraih 16 pingat emas.

Skuad yang majoriti atletnya berpengkalan di ibu negara itu menurunkan rangkaian perenang handalan mereka termasuk Muhammad Dhuha Zulfikry yang baharu berusia 16 tahun namun pulang bersama empat pingat emas selain memecahkan rekod SUKMA.

WP juga muncul juara dalam acara e-sukan, lawan pedang, bola sepak lelaki, gimnastik, kabadi, karate, bola jaring dan pingpong.

Selangor pula menjuarai acara badminton, bola keranjang, futsal, boling padang, bola tampar dan ragbi.

Apa yang menarik mengenai SUKMA kali ini, hampir setiap kontinjen yang bertanding muncul juara untuk sekurang-kurangnya satu jenis sukan.

Kontinjen paling kecil, Perlis menjadi ‘badang’ SUKMA apabila menjulang empat pingat emas dalam acara angkat berat.

Bekas kuasa besar SUKMA, Terengganu pula membolot banyak pingat emas dalam acara memanah, berbasikal dan pencak silat manakala Johor mengungguli olahraga, ragbi dan sofbal.

Kedah muncul juara keseluruhan acara pelayaran manakala Pahang dan Negeri Sembilan unggul dalam acara menembak.

Melaka pula yang menduduki tangga teratas kutipan pingat sebelum pembukaan rasmi SUKMA unggul dalam acara wushu.

Perak pula muncul juara tenis, silambam, kriket dan hoki lelaki.

Pulau Pinang mendominasi arena tinju walaupun dicabar hebat oleh tuan rumah selain turut unggul dalam acara judo dan catur.

Bagi Mohamad Nizam, beliau tertarik melihat persaingan membabitkan Sarawak dengan WP yang menurutnya telah memainkan peranan yang signifikan dalam sejarah kejayaan SUKMA sejak penganjurannya.

“WP dikenali dengan konsistensinya kerana sering kali berada pada kedudukan teratas keseluruhan manakala Sarawak terus menunjukkan keunggulan dalam sukan-sukan tertentu, khususnya ketika menjadi tuan rumah, dengan memberikan persembahan yang cemerlang dan meraih kejayaan gemilang,” katanya.

Syarat ketat SUKMA ‘bunuh’ perkembangan sukan tertentu?

Di sebalik pujian menggunung terhadap Sarawak yang dilihat cemerlang menganjurkan temasya melibatkan pertarungan atlet muda itu, timbul beberapa isu khususnya pengguguran beberapa acara disebabkan tidak memenuhi syarat jumlah penyertaan.

Ini berlaku pada acara futsal wanita dan selain beberapa acara terjun.

Menurut Mohamad Nizam, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius.

Acara futsal lelaki menemukan Sarawak dengan Selangor pada final manakala futsal wanita digugurkan ekoran tidak menepati syarat jumlah pasukan bertanding. Foto, Alex Teo (TVS).

“Keputusan untuk menggugurkan acara-acara ini atas dasar tidak memenuhi syarat penyertaan minimum memang berlandaskan peraturan dan struktur kejohanan yang ditetapkan.

“Namun ia juga membawa implikasi signifikan terhadap pembangunan atlet muda dan peluang mereka untuk terlibat dalam sukan.

“Pertama, kita perlu mengakui bahawa SUKMA memainkan peranan kritikal dalam pembangunan bakat muda. Atlet muda memerlukan platform untuk bertanding dan mendapatkan pengalaman berharga yang penting dalam perkembangan kerjaya sukan mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi ramai atlet muda, SUKMA merupakan peluang pertama mereka untuk beraksi di peringkat kebangsaan.

“(Keputusan) menggugurkan acara seperti futsal wanita dan terjun bukan sahaja menafikan peluang ini, tetapi juga boleh menjejaskan motivasi dan komitmen atlet yang telah bersiap sedia dan berlatih dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata, keputusan menggugurkan acara disebabkan kurangnya penyertaan mungkin dibuat dengan niat untuk mengekalkan kualiti persaingan.

“Walaupun begitu, syarat ini sepatutnya dikaji semula dengan mempertimbangkan impak jangka panjang terhadap pembangunan sukan. Alternatif lain mungkin dapat diambil untuk menangani isu ini tanpa perlu menggugurkan acara sepenuhnya.

“Sebagai contoh, had minimum penyertaan boleh disesuaikan atau acara boleh diteruskan dengan modifikasi tertentu seperti mengubah format pertandingan atau menggabungkan kategori,” katanya.

SUKMA masih relevan?

Adakah SUKMA masih relevan untuk menjadi platform terbaik melahirkan atlet pelapis berkualiti negara?

Persoalan itu timbul selepas Malaysia masih gagal menuai emas Olimpik sulung walaupun SUKMA diperkenalkan sejar 38 tahun lepas.

Kepada persoalan ini, Mohamad Nizam berkata, SUKMA terbukti menjadi platform yang sangat berkesan dalam melahirkan ramai atlet kebangsaan yang berjaya.

Jelas beliau, ini dapat dilihat apabila ramai atlet terkenal Malaysia yang telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, termasuk Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

“Mereka memulakan perjalanan melalui penyertaan dalam SUKMA.

“Antara tokoh sukan terkemuka yang pernah beraksi dalam SUKMA adalah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Pandelela Rinong (terjun) dan Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal) yang kemudiannya menjadi ikon sukan negara.

“Ini menunjukkan bahawa SUKMA telah dan terus memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat sukan dari peringkat akar umbi,” katanya.

Tambah beliau Chong Wei sebagai contoh kali pertama kali menyertai SUKMA pada tahun 2000 yang diadakan di Pulau Pinang.

“Walaupun beliau tidak memenangi sebarang pingat pada edisi tersebut, penyertaannya menjadi titik tolak penting dalam kerjayanya sebagai pemain badminton apabila beliau mula mendapat perhatian daripada jurulatih kebangsaan,” katanya.

Pasukan Silambam Sarawak mempamerkan aksi dalam acara berkumpulan pada temasya SUKMA Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) Kuching. Foto TVS

Skrip yang sama juga kata beliau berlaku kepada Pandelela yang telah mencipta sejarah menjadi atlet wanita Malaysia pertama menang pingat pada Sukan Olimpik.

Pandelela kemudian muncul atlet wanita pertama negara menang pingat pada dua edisi Olimpik berturut – turut.

“Dia membuat penampilan sulung dalam SUKMA 2004 di Negeri Sembilan.

“Meskipun usia masih muda, Pandelela mempamerkan bakat luar biasanya dalam sukan terjun yang akhirnya menjadikannya atlet bertaraf dunia dalam sukan tersebut.

“Begitu juga dengan Azizulhasni yang juga memulakan penyertaannya pada SUKMA 2004 yang kemudian menjadi batu loncatan penting bagi kerjayanya yang gemilang di peringkat antarabangsa dalam sukan berbasikal trek,” katanya.

Pada SUKMA Sarawak kali ini, Mohamad Nizam turut menamakan beberapa atlet yang mampu menjadi pelapis sukan masa depan negara.

“Dalam olahraga, analisis prestasi saya menunjukkan terdapat ramai atlet yang berpotensi pada masa akan datang.

“Satu rekod kebangsaan dipecahkan oleh atlet lari berpagar 400 meter lelaki, Muhammad Fakrul Afizul Nasir dari Kelantan.

“Edisi kali ini juga menyaksikan lapan rekod baharu SUKMA dipecahkan.

“Umar Osman dari Johor mencuri tumpuan dengan memenangi empat pingat emas dalam acara 400m, 800m, serta membantu kuartet 4x400m lelaki dan 4x400m campuran, sambil memecahkan tiga rekod temasya.

“Begitu juga dengan Jonah Chang Rigan dari Sarawak memenangi tiga emas dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi sambil memecahkan rekod SUKMA dalam lontar peluru dengan jarak 17.66 meter,” katanya.

Rekod SUKMA yang dilakar dalam acara padang pula menerusi atlet Sarawak Jonah Chang Rigan (lontar peluru lelaki – 17.66m). Foto Faitullah Morni (TVS)

Beliau turut melihat Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Selangor yang memenangi emas dalam acara 100m dan 200m wanita, serta memecahkan rekod temasya dalam kedua-dua acara tersebut.

“Ng Jing Xuan dari Sarawak mencatatkan rekod baharu dalam acara rejam lembing dengan lemparan sejauh 45.12 meter, sementara Khor Jing Hong dari WP memenangi emas dalam 20,000m lumba jalan kaki dan memperbaharui rekod SUKMA dengan masa 1 jam 34 minit 38.20 saat,” katanya.

Kesemua pencapaian ini kata beliau menunjukkan potensi Malaysia untuk kembali mendominasi di Sukan SEA Bangkok tahun depan.

Jumpa lagi di Selangor 2026

Menutup analis, Mohamad Nizam mengucapkan tahniah kepada Sarawak atas kejayaan penganjuran SUKMA 2024, yang diiktiraf sebagai salah satu edisi paling cemerlang dalam sejarah 38 tahun temasya tersebut.

“Ini membuktikan kemampuan negeri ini untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan bertaraf antarabangsa.

Kejayaan muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 membuktikan komitmen Sarawak dalam pembangunan sukan melalui pelaburan program latihan, penyediaan kemudahan bertaraf tinggi dan sokongan berterusan dalam melahirkan bakat baharu. Foto Faitullah Morni (TVS)

“Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai persetujuan kerajaan Persekutuan untuk Sarawak menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 tidaklah menghairankan dalam konteks ini kerana SUKMA 2024 yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar, ” katanya.

Beliau berkata ini telah mengukuhkan lagi keyakinan terhadap kebolehan Sarawak untuk menganjurkan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Memandang ke hadapan, penganjuran SUKMA 2026 di Selangor membawa harapan yang besar, bukan hanya untuk temasya tersebut, tetapi juga bagi pembangunan sukan di Malaysia secara keseluruhan.

Sebagai salah satu negeri yang paling maju di Malaysia, Selangor mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur, aksesibiliti, dan sumber daya,” katanya.

Pada edisi 2026, adakah Sarawak mampu mengekalkan kejuaraan mereka atau adakah Selangor pula yang akan mendominasi SUKMA?

Semoga SUKMA akan terus menjadi platform untuk atlet muda bersaing dan mana tahu, salah seorang daripada mereka yang menyertai SUKMA 2024 akan menamatkan penantian rakyat Malaysia mendengar Negaraku berkumandang pada pentas Olimpik. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan