Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Henry Sum Agong mengibar Jalur Gemilang pada Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di Gelanggang Arena Lawas. Foto Jabatan Penerangan Lawas

Lawas terus nikmati pembangunan hasil kemerdekaan negara

LAWAS, 27 Ogos: Projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang akan dibina di Lawas membuktikan daerah itu tidak tertinggal dari arus pembangunan.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, selain MRSM Lawas, kerajaan bersetuju membina lapangan terbang lebih besar, Pelabuhan Laut Dalam di Pulau Sari dan pelbagai pembangunan lain.

Menurutnya, pembangunan yang dilaksanakan kerajaan adalah hasil kemakmuran dan kemerdekaan yang dikecapi tokoh pejuang terdahulu yang harus dikekalkan dan dipelihara generasi muda.

“Hari ini kita juga memperingati Malaysia yang telah mencapai 67 tahun merdeka, pastinya bukan perkara mudah kita melalui banyak rintangan, halangan dan terdahulunya ada peperangan.

“Kita telah mencapai apa yang dihasratkan iaitu kemerdekaan, oleh itu seluruh rakyat haruslah bangga dan mempertahankan kesepaduan bangsa kerana jika dibanding dengan usia manusia, ia suatu tempoh kematangan bagi rakyat dan negara,” katanya ketika merasmikan Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di Gelanggang Arena di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Sri Kestury Mohammed Zamhar dan Temenggong Rosli Majid.

Henry Sum berkata, KMJG 2024 anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) sehingga ke kawasan luar bandar termasuk di pedalaman bertujuan memperingati peristiwa kemerdekaan selain menyemai semangat cintakan negara.

Konvoi KMJG 2024 dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu merentasi 24 perhentian dengan perjalanan sejauh lebih kurang 4,025 km bermula dari Telok Melano sehinggalah ke Lawas dan akan berpatah balik ke Sibu pada 31 Ogos 2024 untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di sana.

Di setiap perhentian, konvoi KMJG menganjurkan pengisian program seperti Program Merdeka@Komuniti / Merdeka@Parlimen, Persembahan PENTARAMA dan simbolik penyerahan Jalur Gemilang.

Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat akan erti kemerdekaan dan menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat.

Malah, JAPEN memberi fokus dan tumpuan kepada komuniti setempat (Komuniti MADANI) supaya usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024 ini terus menyelusuri denyut nadi komuniti di peringkat akar umbi. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan