Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia. Foto Kementerian Perpaduan (FB)

Koleksi surat-menyurat Sultan Abdul Hamid, rekod bertulis tunggal Kesultanan Melayu

ByFebbright James

ALOR SETAR, 27 Ogos: Koleksi surat-menyurat Sultan Abdul Hamid merupakan bukti rekod bertulis tunggal berkaitan Kesultanan Melayu semasa zaman pemerintahan kerajaan asing yang masih dipelihara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata koleksi surat-menyurat itu juga diwartakan sebagai warisan dunia ‘Memory of the World Register’ pada 2001 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) atas hasil usaha Arkib Negara dengan kerjasama penyelidik tempatan.

Aaron menyifatkan koleksi terbabit sebagai warisan dunia dipengaruhi berikutan keistimewaanya sebagai satu-satunya kumpulan manuskrip Melayu yang bernilai dan tersusun berbanding koleksi manuskrip surat-menyurat kerajaan lain di Gugusan Kepulauan Melayu silam.

Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia. Foto Kementerian Perpaduan (FB)

“Koleksi ini banyak mengandungi maklumat penting dan gambaran yang jelas mengenai sejarah negeri Kedah sewaktu peralihan kuasa Siam dan kemasukan British dalam pentadbiran negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia hari ini.

Tambah beliau, surat-surat yang terkandung dalam koleksi ini meliputi surat kiriman baginda Sultan Abdul Hamid dan pembesar negeri kepada kerajaan Siam, pegawai Inggeris termasuk Residen Inggeris di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Gabenor Negeri-Negeri Selat.

“Saya percaya kajian dan penyelidikan yang lebih lanjut ke atas surat-menyurat ini boleh memberikan impak yang sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara kerana ianya boleh memberikan semangat dan motivasi untuk kita mencontohi pentadbiran dan kepimpinan baginda mengurus tadbir negeri Kedah.

“Ini boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola sama ada di peringkat jabatan mahupun persekutuan,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa sejarah mampu mendidik masyarakat untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan dan kesalahan masyarakat terdahulu.

“Bagi memastikan masyarakat dan negara yang lebih baik pada masa hadapan, generasi muda yang bakal mengambil tempat pemimpin hari ini seharusnya bukan sahaja mempelajari sejarah, namun yang lebih penting adalah memahami dan meneladani sejarah tersebut.

“Mempelajari dan memahami sejarah boleh memupuk semangat patriotisme, malah boleh menyemai perpaduan antara kaum terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Arkib Negara Malaysia juga telah mewujudkan inisiatif Hari Ini Dalam Sejarah sebagai usaha untuk meningkatkan dan menyebar luas maklumat sejarah negara kepada masyarakat umum.

“Kini Hari ini Dalam Sejarah (HIDS) didapati di pelbagai platform seperti 34 saluran radio RTM, slot kapsul masa IKIM FM, portal HIDS serta melalui aplikasi HIDS di Google Play Store dan Apple Play Store,” tambahnya.

Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) ini diadakan di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah.

Pameran Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid bertemakan “ Warkah Warisan Dunia” juga diadakan untuk tatapan pengunjung bagi menambahkan ilmu pengetahuan dan memberi gambaran situasi ekonomi, politik, sosiobudaya dan sejarah diplomatik negeri Kedah khususnya sebagai wadah utama sistem pentadbiran kerajaan Kedah pada ketika itu.

Selain pameran bergambar, turut diadakan Demonstrasi Pemuliharaan Bahan Arkib untuk mendedahkan peranan Arkib Negara Malaysia sebagai penyimpan dan pemelihara khazanah warisan negara.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan