Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan berjaya meraih satu emas dan dua gangsa pada SUKMA 2024 Sarawak baru - baru ini.

Sarawak jadi medan ujian terhebat dalam karier sebagai atlet – Hafiz Darwisy

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Pada Jun lepas, pemain boling skuad remaja Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan bersama pasukannya terbang ke Kuching untuk menyertai Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024.

Muhammad Hafiz Darwisy, 17, sedar dia perlu mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan itu bagi mencerahkan peluangnya terpilih mewakili Pulau Mutiara pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan berlangsung di venue sama iaitu Sarawak Megalanes, Batu Kawa pada Ogos.

Pulau Pinang menduduki tempat ketiga keseluruhan acara boling tenpin SUKMA Sarawak 2024 selepas menang satu emas, dua perak dan dua gangsa.

Ketika sedang beraksi pada pusingan kelayakan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkuang ini menerima perkhabaran duka apabila dimaklumkan ayahnya, Azhlan Md Razhi sakit tenat di hospital.

“Emosi saya mula terganggu untuk beraksi namun ditenangkan oleh jurulatih.

“Apabila perlawanan bermula, saya bermain boling sambil berkomunikasi dengan kakak menerusi WhatsApp untuk mengetahui keadaan ayah.

“Habis sahaja game pertama, saya dapat berita yang ayah sudah meninggal dunia. Saya hanya mampu menangis di gelanggang boling sambil ditenangkan jurulatih,” katanya kepada TVS.

Menurut Muhammad Hafiz Darwisy, dia berusaha untuk pulang ke Pulau Pinang pada malam itu namun tiket penerbangan saat akhir sudah habis.

Akhirnya keputusan berat dibuat iaitu kekal di Kuching bagi melunaskan tanggungjawabnya selaku atlet.

“Saya fight demi arwah abah kerana sebelum ke Sarawak, arwah pesan supaya saya bermain bersungguh-sungguh dan menang,” katanya.

Keesokan hari ketika beraksi acara final bawah 25, Muhammad Hafiz Darwisy muncul juara.

“Saya hanya sempat lihat jenazah arwah ayah dikafankan menerusi panggilan video,” katanya.

Atlet muda itu sekali lagi terbang ke Sarawak baru – baru ini apabila terpilih menjadi salah seorang daripada enam pemain skuad boling Pulang Pinang pada SUKMA baru-baru ini.

Pada saingan temasya dwitahunan itu, dia berjaya meraih pingat emas untuk acara lima sepasukan lelaki selain dua pingat gangsa acara beregu lelaki dan beregu campuran.

Bergandingan dengan Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin, Muhammad Hariz Adlan Azman, Muhammad Adam Darwish Dzulhakimy dan Mohammad Zuhair Zailani, mereka menggungguli acara itu dengan merekodkan 5,915 pin untuk menewaskan Johor yang memberi saingan sengit apabila menjatuhkan 5,907 pin.

Pasukan lelaki Sarawak meraih gangsa acara itu.

Ditanya sama ada dia ‘trauma’ untuk ke Sarawak bagi bertanding pada SUKMA baru – baru ini, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, perkara itu tidak terlintas di fikirannya.

“Pemergian arwah abah ketika saya bertanding di sana menjadi asbab untuk saya lebih bersemangat ketika beraksi di gelanggang boling.

“Saya ingin memenuhi impian arwah yang mahu saya terpilih menyertai SUKMA dan memenangi pingat.

“Saya tidak nafikan Sarawak jadi medan ujian yang hebat dalam karier saya sebagai pemain boling namun saya bersyukur kerana ada sinar kejayaan,” tambahnya.

Pada masa sama, atlet muda ini turut merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan, ibunya, Norizan Mohd Zain dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan padu kepadanya.

Tamat SUKMA, Muhammad Hafiz Darwisy memberitahu tugasnya belum berakhir kerana masih ada beberapa kejohanan termasuk Majlis Sukan Sekolah – sekolah Malaysia (MSSM), sirkit remaja kebangsaan, Kejohanan Boling Antara Negeri dan Kejohanan Tertutup Kebangsaan, Pesta Boling Antarabangsa Pulau Pinang dan Junior All Star di Petaling Jaya selepas ini.

Mengenai sasaran dalam sukan itu, Muhammad Hafiz Darwisy mengakui dia mahu menyertai pasukan remaja kebangsaan.

“Jika ada rezeki, saya mahu kembali ke Sarawak tahun depan untuk mempertahankan gelaran yang saya menang pada tahun ini,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan