Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rasuna menunjukkan Tebaloi yang siap dibakar, hasil kerja keras dan warisan budaya yang dijaganya. Foto: Lorenzo TVS

SUKMA 2024: Tebaloi Mukah ibarat ‘pisang goreng panas’

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MUKAH, 24 Ogos: Kemeriahan venue acara bola sepak SUKMA XXI 2024 di Stadium Mukah memberi sinar kepada Rasuna Nyalong yang meraih rezeki dengan menjual snek tradisional masyarakat Melanau, tebaloi di sini.

Wanita berusia 50 tahun itu giat mengusahakan perniagaan menjual tebaloi sejak dua dekad lalu mengakui temasya sukan kali ini menjadi lubuk emas buatnya.

Menurutnya, snek tradisional yang diwarisinya turun-temurun Melanau Likou dari Oya, Mukah itu bagai ‘pisang goreng panas’ di venue berkenaan.

Rasuna memberitahu kehadiran para pengunjung dari pelbagai negeri terutama Semenanjung Malaysia, membuatkan permintaan terhadap jualan tebaloinya meningkat tinggi.

“Ramai yang pertama kali mencuba tebaloi, kagum dengan keunikannya, dan ini telah meningkatkan pendapatannya dengan ketara.

“Saya mula berniaga tebaloi ketika anak-anak masih kecil.

“Ia bukanlah perniagaan yang besar, tetapi cukup untuk menyara keluarga. Kini, dengan SUKMA di Mukah, saya dapat melihat perniagaan ini berkembang lebih jauh.
“Ramai yang datang dari Semenanjung Malaysia, dan mereka sangat menyukai tebaloi.

“Bagi mereka, ini adalah sesuatu yang unik, pengalaman pertama kali yang sukar dilupakan, ” katanya ketika ditemu bual TVS pada Rabu.

Berkongsi lanjut menurut Rasuna, tebaloi yang dijualnya memiliki keunikan tersendiri daripada segi bahan mentah.

“Dari Tebaloi Ikan Kelapa, Tebaloi Payak (udang) hingga Tebaloi Hati Yu, setiap jenis tebaloi mempunyai rasa tersendiri yang memikat selera.

“Bahan-bahan seperti ikan, kelapa, dan sagu, semuanya saya pilih sendiri untuk memastikan kualiti tebaloi sentiasa terjamin,” ujar beliau.

Paling mengujakan kata ibu kepada lima cahaya mata itu, pendapatan yang diraih hasil jualannya sepanjang SUKMA sedkit sebanyak menampung perbelanjaan anaknya melanjutkan pelajaran anak bongsunya, Mariezio Prisca Patrick,18, yang kini menuntut di Politeknik Mukah.

“Saya selalu ingin melihat anak-anak saya berjaya. Pendapatan daripada tebaloi inilah yang saya gunakan untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik.

“Mariezio adalah harapan saya. Saya mahu dia mencapai impiannya, dan saya akan terus bekerja keras untuk itu,” tambahnya.

Sementara itu, Mariezio yang menyimpan cita-cita menjadi seorang jurutera mengakui bahawa kejayaan akademiknya dibuahkan dengan titik peluh si ibu.

“Saya sentiasa membantu ibu semasa cuti sekolah dan kini juga semasa cuti semester.

“Dengan adanya SUKMA, saya dapat membantu lebih banyak dan ibu juga mendapat peluang untuk meningkatkan pendapatannya.

“Ibu saya adalah segalanya. Dia bekerja keras untuk kami, dan saya ingin membalas segala pengorbanannya dengan menjadi seorang jurutera yang berjaya. Saya sangat berterima kasih kepada ibu atas segala yang dia telah lakukan,” katanya.

Mariezio mendedahkan SUKMA Sarawak 2024 bukan sahaja memeriahkan Mukah namun memberi sinar kepada poket para peniaga tempatan di sini termasuk keluarganya.

“Kami, peniaga-peniaga kecil seperti saya, sangat berterima kasih kepada penganjuran acara besar seperti ini.

“Ia memberi kami peluang untuk memperkenalkan produk tempatan kepada lebih ramai orang, dan pada masa yang sama, membantu meningkatkan ekonomi keluarga kami,” ulang Rasuna lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan