Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suasana kontinjen Kelantan memasuki stadium semasa Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, malam tadi.

SUKMA 2024: Pencapaian kontinjen Kelantan kurang memuaskan – Exco Sukan

ByBernama

KOTA BHARU, 25 Ogos: Kerajaan Kelantan kurang berpuas hati dengan pencapaian kontinjen negeri itu dari segi kutipan pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang melabuhkan tirainya semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata hal ini kerana pihaknya menyasarkan sebanyak 56 pingat untuk SUKMA kali ini termasuk 20 pingat emas tetapi hanya mampu memperoleh 37 pingat iaitu tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa.

SUKMA 2024: ‘Langkah’ tangkas pendekar Bumi Kenyalang

“Prestasi kontinjen Kelantan sejak 2018 sehingga edisi di Sarawak kurang memberangsangkan dari segi pencapian kutipan pingat malah kedudukan carta negeri yang bertanding kita masih berada di tempat kedua tercorot. Kedudukan ini sangat tidak memuaskan ramai pihak yang terlibat dengan sukan di negeri ini.

“Kita perlu membuat rombakan dari segi program sukan di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) dan melihat semula perancangan serta peranan persatuan sukan di negeri ini bagi menghadapi SUKMA edisi seterusnya dari segi penyusunan program pencarian bakat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Larian Jiwa Merdeka 2024 di sini.

Temasya edisi ke-21 itu yang bermula secara rasmi pada 17 Ogos lepas melabuhkan tirainya semalam, menyaksikan kontinjen Sarawak mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan merangkul 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan sebagai naib juara (75-65-72) dan Selangor di tangga ketiga (56-64-61), manakala Kelantan di kedudukan ke-14 daripada 15 kontinjen yang bertanding (7-13-17).

Mengulas lanjut Zamakhshari berkata pihaknya juga akan turut memberi tumpuan berhubung isu kewangan bagi meningkatkan pencapian atlet pada SUKMA yang akan datang.

“Isu kewangan juga kita akan beri tumpuan kerana setakat ini mengikut maklumat bajet MSN tidak besar untuk program sukan dan persiapan SUKMA. Saya akan cuba dapatkan pertambahan bajet pada tahun depan dan tahun seterusnya bagi program sukan di Kelantan.

“Selain usaha untuk pertambahan bajet oleh kerajaan negeri, pendekatan lain adalah mendapatkan sokongan daripada badan korporat bagi membantu meningkatkan prestasi sukan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Zamakhshari berkata kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat sempena temasya SUKMA Sarawak pada majlis khas dalam masa terdekat.

“Bagi individu atau dua orang ke bawah yang berjaya mendapat pingat emas akan menerima insentif RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500), manakala bagi berpasukan melibatkan tiga atau enam orang atlet pula yang meraih pingat emas (RM3,000), perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).

“Selain itu, untuk berpasukan yang melebihi tujuh orang atlet keatas yang mendapat pingat emas (RM4,500), perak (RM3,500) dan gangsa (RM2,500),” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan