Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kejayaan atlet renang Andrew Goh dan penembak Gan Chen Jie dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 adalah hasil keberkesanan program Majlis Sukan Negeri (MSN) dan kerja keras kejurulatihan. Foto Alex Teo (TVS) & Kanarul Star

Kejayaan Andrew, Chen Jie hasil keberkesanan program latihan MSN Negeri

ByBernama

KUCHING, 25 Ogos: Kejayaan atlet renang Andrew Goh dan penembak Gan Chen Jie dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 adalah hasil keberkesanan program Majlis Sukan Negeri (MSN) dan kerja keras kejurulatihan.

Andrew menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada Kerajaan Selangor menerusi MSN negeri yang membimbingnya sejak kira-kira lapan tahun lepas.

Pada saingan SUKMA kali ini, atlet renang berusia 20 tahun itu mengakhiri saingan di Bumi Kenyalang dengan pencapaian lima pingat emas selain memperbaharui dua rekod kebangsaan dan dua rekod temasya memberikan suntikan semangat untuk melakar kejayaan berganda dalam kejohanan di peringkat lebih tinggi.

“Saya berasa bangga dan terhutang budi kepada kerajaan negeri dan jurulatih-jurulatih yang membimbing saya untuk mencapai kejayaan ini. Saya akan terus berusaha keras.

“Saya juga sangat bangga dengan apa yang saya buat, bangga terhadap rakan sepasukan kerana mereka memberikan sokongan. Saya sangat bersyukur dan menyasarkan untuk mencipta kejayaan lebih besar di Sukan SEA dan Olimpik,” katanya kepada Bernama.

Mengimbau perjalanan sebagai perenang kebangsaan, Andrew berkata ibu bapanya telah menghantarnya ke kelas renang sejak berusia empat tahun bagi ‘mengubati’ penyakit asma.

Beliau yang kini bebas daripada penyakit itu berharap agar pasukan renang Selangor mengekalkan dominasi pada edisi 2026 yang menyaksikan negeri itu menjadi tuan rumah.

“Saya harap mereka (perenang Selangor) dapat teruskan, banyak yang telah diperbaiki daripada SUKMA lepas dan jumlah pingat emas yang kami raih (SUKMA 2024) lebih banyak, jadi harap (SUKMA 2026) di laman sendiri, kami mempunyai kelebihan dan saya percaya bahawa kami pasti boleh menang,” katanya yang membuat penampilan terakhir pada SUKMA ini.

Sementara itu, Chen Jie, yang merupakan penembak Negeri Sembilan mengakui kejayaan meraih gelaran terulung pada temasya dwitahunan kebangsaan itu perlu diberikan kredit kepada barisan kejurulatihan yang sentiasa bersedia membimbingnya mengatasi segala kelemahan diri.

“Saya rasa (gelaran Atlet Terbaik Wanita) sebagai dorongan untuk lebih banyak banggakan rakyat Malaysia dan negeri untuk menang kejohanan di peringkat antarabangsa. Saya mahu layak ke Olimpik tetapi semua itu perlu ada usaha keras.

“Saya anak bongsu daripada tiga beradik dan sekarang mahu ikut langkah kakak saya yang pernah bertanding di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur (atlet renang berirama),” katanya.

Beliau mendominasi Lapang Sasar Menembak Sarawak selepas menyapu bersih pingat emas dalam acara 10m Air Rifle individu dan berpasukan, 50m rifle 3 posisi individu dan berpasukan, 50m rifle prone individu dan berpasukan serta 10m Air Rifle bercampuran.

Chen Jie menerima anugerah itu mengatasi saingan yang tidak kurang hebatnya iaitu perenang tuan rumah Kelly Teo Yao (enam emas, satu perak, dua gangsa), gimnas Wilayah Persekutuan Cassidy Tan Jia Xin (empat emas, satu perak) dan pelari pecut Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (tiga emas, satu gangsa). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan