Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, terdapat keperluan mendesak untuk melengkapkan tenaga kerja dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, selaras dengan keperluan semasa pelbagai sektor industri untuk Sarawak mencapai status wilayah maju menjelang 2030. Foto TVS

Sarawak Skills peneraju transformasi landskap ekonomi, teknologi Sarawak

ByRegina Lee

KUCHING, 24 Ogos: Sebagai peneraju dalam transformasi landskap digital, ekonomi dan pendidikan di wilayah ini, Sarawak Skills dilihat sebagai antara satu institusi terkemuka yang mampu meningkatkan kualiti pembangunan bakat dan menyokong pertumbuhan profesional individu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, terdapat keperluan mendesak untuk melengkapkan tenaga kerja dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, selaras dengan keperluan semasa pelbagai sektor industri untuk Sarawak mencapai status wilayah maju menjelang 2030.

“Sasaran kita ialah pada 2030, tetapi Bank Dunia telah iktiraf Sarawak sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi sejak dua tahun yang lalu.

“Kita harus cari jalan dengan pastikan rakyat Sarawak mempunyai pendapatan yang lumayan, dan kita ajar anak muda bagaimana untuk maju melalui teknologi dan kemahiran terkini serta pusat pembangunan bakat seperti Sarawak Skills,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-30 Sarawak Skills di Hotel Riverside Majestic, malam tadi.

Menurut Abang Johari, ketika meraikan sambutan ulang tahun Sarawak Skills ke-30, Kerajaan Sarawak harus berfikiran jauh ke hadapan untuk perubahan landskap ekonomi untuk 30 tahun akan datang.

Ujar beliau, dengan hasrat Sarawak untuk menjadi hab tenaga hijau di rantau ini, ramai bakat diperlukan bagi inisiatif ini dan peranan Sarawak Skills dalam mengubah silibus kurikulumnya ke arah ekonomi baharu itu.

“Kita perlu mengenal pasti disiplin yang tepat untuk menghasilkan individu yang berpengetahuan dan mengubah ekonomi kita menjadi ekonomi moden berdasarkan usaha kita ke arah ekonomi hijau.

“Saya berharap dalam 30 tahun akan datang, Sarawak Skills akan menghasilkan individu yang kita perlukan,” katanya lagi.

Turut hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan