Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Atlet Terengganu, Muhammad Izzan Ismadi merangkul kejuaraan sukan angkat berat bagi acara 96 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, sekali gus menghadirkan pingat emas ketiga untuk kontinjen negeri berkenaan. Foto TVS

Angkat berat: Terengganu raih emas ketiga, pecah rekod kebangsaan

ByAhmad Burhanuddin

BETONG, 23 Ogos: Atlet Terengganu, Muhammad Izzan Ismadi merangkul kejuaraan sukan angkat berat bagi acara 96 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, sekali gus menghadirkan pingat emas ketiga untuk kontinjen negeri berkenaan.

Muhammad Izzan beraksi cemerlang apabila berjaya memecahkan satu rekod kebangsaan dan mencipta rekod baharu untuk disiplin clean & jerk iaitu 173kg, manakala bagi angkatan snatch, 140kg dan keseluruhan ialah 313kg.

Menurutnya, kejayaan kali ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan buat dirinya berikutan hanya menjalani latihan beberapa bulan sahaja menjelang SUKMA.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pekerja kilang (selama setahun) dan kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menyambung semula latihan dengan pasukan angkat berat negeri.

“Saya bekerja keras dan berasa bangga kerana apa yang saya impikan tercapai. Saya juga memang menyasarkan untuk memecahkan rekod hari ini,” katanya ketika ditemui media di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini.

Kata Muhammad Izzan, dia mendedikasikan pingat yang diperolehnya itu kepada semua pihak yang telah banyak memberi sokongan terhadap dirinya.

“Saya mahu menghadiahkan emas ini kepada diri saya, kedua ibu bapa dan keluarga saya di rumah serta seluruh rakyat negeri Terengganu.

“Selepas ini saya mungkin akan teruskan latihan dan jika diberikan peluang, saya akan menyertai skuad kebangsaan negara sekiranya dipanggil,” ujarnya.

Abdila Iyad Abdul Jalil dari Wilayah Persekutuan meraih pingat perak dengan angkatan keseluruhan 309kg; 138kg untuk snatch dan 171kg (clean & jerk) dan atlet Sabah, Muhammad Alianafiah memenangi tempat ketiga dengan catatan 262kg (110kg, 152kg).

Dalam kategori berlainan, kontinjen Pahang berjaya meraih emas pertama acara melebihi 96kg lelaki menerusi Muhammad Faris Haikal Kamarul pada hari terakhir sukan berkenaan berlangsung.

Dia mengungguli acara itu dengan melengkapkan bebanan angkatan keseluruhan 300kg; 130kg untuk snatch dan 170kg (clean & jerk).

Atlet tuan rumah Sarawak, Samuel Franklyn Edward meraih tempat kedua dengan angkatan keseluruhan 262kg (111kg, 151kg) dan gangsa dimiliki Mohamad Farid Izwan Nor Azizol Hamdan dari Perak yang mencatatkan 235kg (105kg, 130kg). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan