Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Julaihi Narawi pada sidang media di Kuching, hari ini. Foto UKAS

Pameran “Raja Kita” bakal serikan Sambutan Hari Keputeraan Agong peringkat Sarawak

ByBernama

KUCHING, 22 Ogos: Satu pameran bertemakan “Raja Kita” bersempena dengan Sambutan Rasmi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-17 peringkat Sarawak bakal memberi peluang kepada penduduk negeri itu untuk menyelami lebih mendalam tentang institusi diraja.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi yang bertindak sebagai menteri bertanggungjawab untuk sambutan itu berkata pameran berkenaan akan diadakan di ruang legar sebuah kompleks beli-belah di Kota Samarahan dari 5 hingga 8 Sept ini.

“Antara yang akan dipamerkan ialah alat-alat kebesaran diraja (dan) ia boleh menjadi tarikan sebab Sarawak tidak mempunyai raja dan mungkin ada antara peralatan itu tidak pernah dilihat ataupun (rakyat) melihat dari jauh,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk sambutan itu di sini hari ini.

Beliau berkata pameran yang akan turut mempamerkan foto dan biografi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim daripada zaman kanak-kanak sehinggalah ketika pertabalan Seri Paduka Baginda, dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Acara lain bersempena dengan sambutan yang akan berpusat di Bahagian Samarahan itu turut melibatkan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah Samarahan pada 5 Sept yang akan dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Julaihi berkata Khutbah Khas akan disampaikan dalam Solat Jumaat pada 6 Sept di setiap masjid di Sarawak dan pada sebelah petang, satu Majlis Kesyukuran diadakan di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan yang akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri masing-masing.

Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi akan menghadiri Majlis Jamuan Teh pada 7 Sept bermula 10.30 pagi di DeTar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai satu lagi acara bersempena dengan sambutan itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan