Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Prototaip yang menggunakan bekas plastik untuk menyimpan campuran tanah, sisa kumuhan ayam dan hampas kelapa. Foto TVS

Inovasi: Jana tenaga elektrik daripada sisa kumuhan ayam

ByFebbright James

SISA kumuhan ayam yang dihasilkan secara berlebihan terutamanya di ladang penternakan ayam telah menjadi cabaran dan beban kepada penternak sekali gus dapat memberi kesan negatif terhadap kesihatan awam serta alam sekitar sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Kebiasaannya, sisa kumuhan ayam atau lebih dikenali sebagai tahi ayam dijadikan sebagai baja organik namun kini hasil penyelidikan mendapati sisa ini juga berpotensi diubah dan dimanfaatkan menjadi sumber tenaga bersih yang dapat mengubah landskap tenaga di Malaysia.

Oleh itu, penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah membuka lembaran baru dalam bidang inovasi tenaga dengan menghasilkan tenaga elektrik menerusi sel bahan api mikrob.

Dipelopori oleh Penyelidik Institut Kemampanan dan Tenaga Boleh Diperbaharui UNIMAS, Profesor Madya Ir Ts Dr Siti Kudnie Sahari dan pelajar Doktor Falsafah (PhD) seliaanya, Nashley Ursula Mundi, kajian ini memanfaatkan aktiviti semula jadi bakteria dalam tanah yang dicampur dengan sisa kumuhan ayam untuk menghasilkan arus elektrik.

Inovasi ini bukan sahaja menawarkan penyelesaian kepada pengurusan sisa, tetapi juga membawa perubahan baru dalam pencarian sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih lestari.

Siti Kudnie Sahari, Penyelidik Institut Kemampanan dan Tenaga Boleh Diperbaharui UNIMAS. Foto TVS

Proses dan fungsi sistem ini

Menurut Siti Kudnie, sistem ini menggunakan bekas plastik dengan elektrod katod yang ditempatkan di atas tanah lembap yang diperkaya dengan sisa kumuhan ayam dan bakteria yang terdapat dalam campuran ini akan memproses bahan kimia semula jadi untuk melepaskan elektron, yang kemudian dikumpul oleh anod dan dialirkan melalui litar luar untuk menghasilkan tenaga elektrik.

“Pada mulanya, kami menggunakan tanah sebagai substrat tetapi jumlah tenaga elektrik tersebut adalah sangat rendah iaitu sekitar 0.1 sehingga 0.3 vol. Kemudian kami cuba meneliti teori sebenar mengenai cara menghasilkan tenaga elektrik yang lebih tinggi menerusi tindakan ataupun aktiviti bakteria.

“Maksudnya, kami perlu mencari bakteria untuk dijadikan sebagai bahan mikro organisma yang menghasilkan elektrik tetapi harganya lebih mahal. Oleh itu tercetuslah idea untuk kami guna bahan semula jadi iaitu bakteria yang terdapat dalam bahan kumuhan ayam,” katanya.

Power Management System (PMS) digunakan untuk menaikkan voltan dan menstabilkan arus elektrik supaya tidak mudah menurun dalam masa yang singkat.

Menurut beliau, setelah menggunakan bahan kumuh ayam, mereka mendapati voltan yang dihasilkan lebih tinggi berbanding Sel Bahan Api Mikrob yang hanya menggunakan tanah.

Selain campuran tanah dan sisa kumuhan, mereka turut menggunakan hampas kelapa sebagai bahan organik.

Bakteria yang terdapat dalam sisa kumuhan ayam akan lebih aktif dalam suhu atau persekitaran yang panas.

“Jadi bakteria daripada kumuhan ayam akan mengurai bahan organik (hampas kelapa) untuk menghasilkan elektron dan memindahkan elektron antara elektrod katod dan anod sekaligus menghasilkan tenaga elektrik.

Katanya, cabaran yang mereka hadapi kini ialah menghasilkan tenaga elektrik yang seimbang dan boleh bertahan lama.

Bakteria yang terdapat dalam sisa kumuhan ayam akan lebih aktif dalam suhu atau persekitaran yang panas. Foto: TVS

Buat masa ini mereka menggunakan Power Management System (PMS) untuk menaikkan voltan dan menstabilkannya supaya tidak mudah menurun dalam masa yang singkat.

“Walaupun ianya nampak mudah diguna dan dihasilkan kerana hanya menggunakan sisa kumuhan dan sisa pertanian, namun kekangan yang harus kami kaji dan hadapi ialah untuk menstabilkan tenaga,” ujarnya.

Beliau memaklumkan pernah melihat negara maju seperti Korea Selatan berjaya menghasilkan Sel Bahan Api Mikrob ini, tetapi negara itu juga masih diperingkat untuk menghasilkan tenaga yang optimum.

Golongan sasar

Siti Kudnie yang juga merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan itu berkata, rancangan untuk mengembangkan sistem pengurusan kuasa bagi meningkatkan voltan dan kawalan sedang dilaksanakan, terutamanya di kawasan ladang ayam yang tidak mempunyai sambungan elektrik.

Oleh itu, inovasi ini sesuai digunakan di ladang ayam memandangkan anggaran kos pengeluaran dan pelaksanaannya lebih rendah berbanding punca tenaga yang lain.

“Anggaran kita ialah harga dan kos pengeluaran akan lebih rendah cuma sekarang ini kita memerlukan pelaburan yang tinggi terlebih dahulu untuk menghasilkan tenaga elektrik yang lebih besar.

Ladang ternakan ayam berskala kecil yang terdapat di Kampung Niup Kota Samarahan. Foto: Dr Siti Kudnie.

“Ini lebih baik digunakan di ladang-ladang ayam supaya kita dapat mengolah bahan kumuhan ayam daripada dibuang begitu sahaja serta dapat mencemarkan persekitaran dan udara.

Ujarnya, setakat ini mereka sedang menjalinkan bekerjasama dengan penduduk yang memiliki ladang ayam berskala kecil iaitu sekitar 60 ekor ayam untuk melaksanakan projek ini sambil mengkaji keberkesanannya.

“Contohnya, di Kampung Niup Kota Samarahan kita bawa prototaip kepada penduduk untuk kita cuba memasang sistem ini. Sambutan mereka sangat positif dan sekarang ini kita masih memerlukan geran untuk merealisasikan penyelidikan ini ke arah skala yang lebih besar,” katanya.

Dr Kudnie semasa melakukan tinjauan di Ladang Ayam di Kampung Niup Kota Samarahan. Foto Siti Kudnie

Sekiranya penyelidikan berjaya membuahkan hasil dan sistem ini dapat dikomersialkan dalam tempoh lima tahun akan datang, Siti Kudnie memaklumkan beliau bersama pasukannya yang terdiri daripada warga penyelidik akan lebih giat turun padang untuk berkongsikan ilmu kepada penduduk setempat agar sistem ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemilik ladang ayam.

Pelajar teruja jalankan penyelidikan

Berkongsi cerita, Siti Kudnie memaklumkan kebanyakan pelajar-pelajar universiti khususnya di UNIMAS menunjukkan minat mendalam untuk terlibat sama dalam menjalankan penyelidikan berasaskan kelestarian dan kemampanan alam seperti Sel Bahan Api Mikrob ini.

Oleh itu beliau berharap pihak berkaitan khususnya kerajaan Sarawak untuk membuka satu pusat penyelidikan khusus untuk mengolah bahan biojisim menjadi sumber tenaga.

Siti Kudnie bersama-sama dengan pelajar PhD seliaan beliau, Nashley Ursula Mundi. Foto: TVS

Sementara itu, pelajar seliaan Siti Kudnie, Nashley Ursula Mundi memaklumkan dia optimis penyelidikan ini membuahkan hasil berikutan komitmen yang diberikan olehnya serta bantuan penyelia sepanjang menjalankan kajian ini.

“Penyelia saya banyak membantu sepanjang penyelidikan ini dengan menyuntik idea-idea baharu dan cara-cara yang betul bagi memastikan penyelidikan ini menemui sinar. Saya percaya usaha ini selari dengan hasrat Malaysia amnya dan Sarawak khasnya ke arah tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Siti Kudnie merupakan salah seorang penerima Anugerah Tokoh Wanita , Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas  (Inovasi dan Teknologi) semasa Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024. Foto: Dr Siti Kudnie.

Potensi dan impak terhadap industri tenaga dan pengurusan sisa

Kajian ini katanya selari dengan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 iaitu mengubah bahan biojisim kepada sesuatu yang memberi faedah kepada negara Malaysia.

“Salah satu cara untuk merealisasikan pelan ini ialah untuk menguruskan biojisim ini dengan baik dengan menukar bahan kumuh atau pun sisa pertanian kepada sesuatu yang berfaedah iaitu tenaga.

“Jadi apabila kita menjana elektrik darpiada bahan kumuh ini, maka kita akan dapat membantu melestarikan alam,” katanya.

Tambah Siti Kudnie, pencapaian awal dalam menyalakan LED menunjukkan bahawa inovasi ini berpotensi untuk dikomersialkan.

Oleh itu, keupayaan inovasi ini untuk menghasilkan tenaga daripada sisa, membantu dalam pengurusan sisa sambil menyediakan sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan