Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Umar Osman yang mewakili Johor mencipta rekod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas mengungguli acara 400 meter (m) lelaki, sekali gus meraih emas ketiga peribadinya hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

SUKMA: Umar sambar emas ketiga peribadi, perbaharui rekod SUKMA 400 meter

ByBernama

KUCHING, 21 Ogos: Atlet pecut kebangsaan Umar Osman yang mewakili Johor mencipta rekod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas mengungguli acara 400 meter (m) lelaki, sekali gus meraih emas ketiga peribadinya hari ini.

Pada saingan acara final di Stadium Sarawak di sini, Umar membuktikan yang beliau tiada tandingannya selepas tiba di garisan penamat dengan catatan 46.87 saat (s) walaupun sedikit keletihan.

Catatan dilakukan atlet kelahiran Kluang itu memadam rekod lama 47.02s dilakar pelari Selangor Muhammad Ilham Suhaimi pada SUKMA 2018 di Perak.

Atlet berusia 21 tahun itu meninggalkan pencabar terdekat Muhammad Khalil Helmi dari Sabah di tempat kedua (48.05s) sementara wakil Perak N. Kanishkann ketiga selepas merakam 48.42s.

Kejayaan hari ini menyaksikan Umar mempertahankan gelaran edisi 2022 di Kuala Lumpur, selain melengkapkan penampilan terakhir di SUKMA dengan bergaya selepas turut membantu Johor memenangi emas 4x400m campuran dan 4x400m lelaki dengan memecahkan rekod temasya

“Secara peribadi untuk larian kali ini, saya ada keyakinan boleh menang tapi saya kena kawal perasaan itu sebab kita tahu seperti Khalil (Muhammad Khalil) dan Akmal Haziq (Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dari Johor) semua kuat-kuat, jadi mereka akan beri saingan kepada saya.

“Untuk larian hari ini saya rasa agak keletihan kerana semalam dan kelmarin baru saja habis 4x400m campuran dan lelaki. Mungkin disebabkan acara berterusan itu buat saya keletihan,” kata pemenang emas 400m Sukan SEA 2023 ketika ditemui selepas perlumbaan hari ini.

Umar merupakan pemegang rekod kebangsaan acara 400m dengan catatan 46.09s yang dicipta pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China, tahun lepas.

Sementara itu, atlet muda Melaka Shayna Marianne Periera Jesindran mencuri tumpuan apabila memintas pelumba hadapan di hujung perlumbaan untuk menyambar kilauan emas 400m wanita dengan catatan 57.74s.

Atlet berusia 17 tahun itu menidakkan peluang wakil Kelantan Nor Ainaa Balqis Hashim yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas melakar 57.77s manakala Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi dari Johor merakam 58.34s untuk gangsa.

“Saya tidak pasti mampu jadi yang pertama kerana lawan saya semuanya pantas. Tapi saya percaya pada jurulatih dan ikut taktik diajarnya dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini,”  katanya Shayna.

Saingan lompat bergalah pula menyaksikan wakil Pahang, Noor Shahreena Jamizan meraih emas selepas menyempurnakan ketinggain 3.50m, diikuti Dzurianis Aqisya Dzuriamin Azmi dari Wilayah Persekutuan kedua (3.20m) dan Samantha Mae Godfrey Binting dari Sabah ketiga dengan ketinggian 3.10m. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan