Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tan Xin Hung, Leng Ko Jia dan Michael Leano Jerim bangga apabila berjaya menghadiahkan pingat buat Sarawak. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

SUKMA: ‘Saya bangga dapat menghadiahkan emas buat Sarawak’ – Tan Xin Hung

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MUKAH, 21 Ogos: Atlet judo Sarawak, Tan Xin Hung, mencipta sejarah hari ini apabila merangkul pingat emas pertama Sarawak dalam acara judo wanita bawah 63 kilogram di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Xin Hung menewaskan peserta dari Terengganu, Wan Kamalia Adrina Wan Zakari dalam perlawanan akhir yang sengit di Dewan Sri Balau, UiTM Mukah.

Perjalanan Xin Hung menuju kemenangan ini bukanlah mudah. Beliau terpaksa berdepan dengan kecederaan berpanjangan yang hampir memusnahkan impiannya untuk kembali beraksi di arena sukan.

Namun, disiplin dan dedikasi yang tinggi dalam latihan tanpa henti selama dua tahun membuahkan hasil, membuktikan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.

“Saya tidak pernah putus asa walaupun berdepan kecederaan yang serius. Setiap hari saya berlatih dengan tekun, membayangkan saat saya akan berdiri di atas podium.

“Hari ini, impian itu menjadi kenyataan. Saya amat bangga dapat menghadiahkan emas ini untuk Sarawak dan keluarga saya yang sentiasa menyokong,” katanya ditemui selepas tamat perlawanan.

Selain pingat emas dimenangi Xin Hung, kem judo Sarawak juga berjaya meraih dua pingat perak melalui kategori wanita bawah 70 kilogram dan lelaki bawah 60 kilogram.

Dalam perlawanan akhir kategori wanita bawah 70 kilogram, peserta Sarawak, Leng Ko Jia, ditewaskan oleh peserta Terengganu, Zuraida Ahmad.

Sementara itu, Michael Leano Jerim terpaksa akur dengan kekalahan kepada peserta Terengganu, Haykal Ridzuan Edi Sutejo dalam perlawanan akhir lelaki bawah 60 kilogram.

“Walaupun hanya satu emas yang berjaya kami raih hari ini, kami bertekad untuk meneruskan latihan yang lebih keras bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Sarawak, keluarga kami, dan semua yang menyokong kami menjadi pendorong utama untuk kami terus berjuang,” kata Leng Ko Jia.

Keseluruhannya, tujuh pingat emas dipertandingkan dalam acara judo ini. Kontinjen Johor membawa pulang empat pingat emas, Terengganu dua pingat emas dan Sarawak satu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan