Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muhammad Hafizuddin Roslin memecahkan rekod kebangsaan sukan angkat berat menerusi temasya SUKMA 2024. Foto Mohd Raffiq (TVS)

SUKMA: Kekalahan lampau pendorong Hafizuddin pecah rekod kebangsaan angkat berat

ByAhmad Burhanuddin

BETONG, 21 Ogos: Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin berjaya memecahkan rekod kebangsaan sukan angkat berat bagi setiap disiplin dalam acara 81 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, sekali gus menghadirkan pingat emas keempat untuk skuad angkat berat negeri berkenaan.

Beliau bertindak cemerlang dengan mencipta rekod kebangsaan baharu bagi ketiga-tiga disiplin menerusi angkatan 151kg untuk snatch, 181 (clean & jerk) dan juga keseluruhan 332kg.

Muhammad Hafizuddin berkata kekalahan pada SUKMA yang lepas menguatkan lagi matlamat dan keinginannya untuk memecahkan rekod kebangsaan pada edisi kali ini.

“Saya kalah di SUKMA Kuala Lumpur dan itulah yang menjadi pendorong kepada matlamat saya. Alhamdulillah, hari ini saya sudah buktikan untuk Perlis,” katanya selepas majlis penyampaian pingat acara 81kg lelaki di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, hari ini.

Muhammad Hafizuddin yang sentiasa kelihatan tenang dan tersenyum ketika melakukan angkatan turut berkongsi rahsia kejayaannya untuk memecahkan rekod kebangsaan acara sukan tersebut.

“Saya berlatih betul-betul dengan beban angkatan itu dan hari-hari membuat angkatan yang sama sehingga jadi sempurna untuk saya tunjukkan pada SUKMA ini,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Hafizuddin juga tidak lupa untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, jurulatih dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada dirinya.

Sementara itu, Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dari Terengganu pula meraih pingat perak dengan angkatan 273kg (120kg, 153kg) manakala atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Elvin Muhammad Hidayat mendapat tempat ketiga dengan mencatatkan 249kg (115kg, 134kg).

Sebelum ini, tiga rekod kebangsaan itu dipegang oleh Mohd Nasir Roslan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mencatatkan angkatan keseluruhan 315kg (140kg, 175kg) pada 2021. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan