Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setakat 10 malam ini, kontinjen Bumi Kenyalang cemerlang mengungguli carta kedudukan pingat dengan mengumpul keseluruhan 54 emas, 33 perak dan 44 gangsa, meninggalkan pencabar terdekat Wilayah Persekutuan di tangga kedua (45-39-49) diikuti Terengganu ketiga (28-26-27).

Sarawak beri petanda mampu capai sasaran 70 emas lebih awal

ByBernama

KUCHING, 21 Ogos: Hanya 16 pingat emas lagi diperlukan tuan rumah bagi mencapai sasaran 70 ditetapkan untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Setakat 10 malam ini, kontinjen Bumi Kenyalang cemerlang mengungguli carta kedudukan pingat dengan mengumpul keseluruhan 54 emas, 33 perak dan 44 gangsa, meninggalkan pencabar terdekat Wilayah Persekutuan di tangga kedua (45-39-49) diikuti Terengganu ketiga (28-26-27).

Berbaki tiga hari sebelum menutup tirai, sebanyak 198 pingat emas lagi ditawarkan.

Pada edisi kali ini, Sarawak yang merupakan juara tiga kali pada edisi 1990, 1992 dan 1994 menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 70 emas untuk menamatkan penantian 30 tahun bergelar juara keseluruhan.

Hari ini rekod kebangsaan dilebur badang Perlis Muhammad Hafizuddin Roslin dan perenang Selangor Andrew Goh, masing-masing merangkul emas dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) dan 50 meter (m) kuak dada lelaki.

Di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, Muhammad Hafizuddin bagaikan tiada tandingan apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam angkatan snatch, clean and jerk serta angkatan keseluruhan.

Di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pula, Andrew memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali masing-masing dengan catatan masa 28.03 saat (s) dalam saringan, diikuti 27.40s dalam perlumbaan final yang juga menjadi rekod baharu temasya.

Tidak kurang hebatnya, perenang Wilayah Persekutuan Isabelle Chiyi Buckley memecahkan rekod temasya 50m kuak dada wanita sebanyak dua kali masing-masing dengan masa 32.83s sewaktu saringan dan 32.76s ketika merangkul emas dalam perlumbaan akhir.

Acara 1,500m gaya bebas lelaki pula menyaksikan Muhammad Dhuha Zulfikry membutirkan emas sambil turut memperbaharui rekod temasya dengan masa 15 minit 51.53 saat (s).

Renang terus menyaksikan rekod temasya SUKMA diperbaharui apabila Wilayah Persekutuan mencipta rekod baharu ketika merangkul emas acara 4x100m gaya bebas lelaki menerusi gandingan Yap Min Shun, Bryan Leong Xin Ren, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Jayden Tan yang mencipta 3:25.52s.

Dalam saingan 4x100m gaya bebas wanita pula, Morgan Eleven Teo Kai Cheng, Yoong Jia Jia, Lim Shun Qi dan Khew Zi Xian menghadiahkan Selangor kilauan emas sambil mencipta rekod baharu temasya dengan catatan 3:55.84s.

Dalam pada itu, saingan olahraga di Stadium Sarawak pula menyaksikan jaguh pecut kebangsaan Umar Osman dari Johor berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul emas 400m lelaki dengan melakar rekod baharu temasya selepas merakam masa 46.78s

Turut tidak ketinggalan adalah atlet Sarawak Ng Jing Xuan yang memecahkan rekod temasya dalam acara merejam lembing wanita selepas membuat rejaman sejauh 45.12m untuk memenangi emas sekali gus mempertahankan warna pingat yang dimenangi pada edisi lepas.

Pada masa sama, penembak tepat Cheah Zen Hong dari Pahang dan Gan Chen Jie mewakili Negeri Sembilan masing-masing melengkapkan koleksi tujuh emas pada hari terakhir saingan menembak di Lapang Sasar Sarawak.

Kejayaan dua atlet itu meletakkan mereka antara pemenang pingat emas terbanyak dalam saingan SUKMA 2024 setakat ini.

Insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang telah mencemar acara silat di Stadium Bandaraya Miri hari ini hingga diarah beraksi tanpa penonton pada esok dan Jumaat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan