Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
MD Nashriq ketika ditemui di Dewan Sri Balau, UiTM Mukah, hari ini. Foto Lorenzo Isaac ( TVS )

SUKMA: Pengorbanan membutirkan tiga emas buat kem judo Pulau Pinang

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MUKAH, 20 Ogos: Kontinjen Pulau Pinang membuktikan hasil pengorbanan dan dedikasi para atlet sejak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dengan meraih tiga daripada empat pingat emas dalam acara judo menerusi SUKMA 2024.

Jurulatih utama pasukan judo Pulau Pinang, Md Nashriq, 39, berkata bahawa kejayaan ini adalah hasil dari pengorbanan yang besar oleh atlet-atletnya.

“Para atlet kami telah berlatih dengan sangat tekun sejak SUKMA 2022. Mereka mengorbankan banyak masa antara sesi latihan dengan pelajaran di universiti, masa bersama keluarga dan ketika musim cuti,” katanya selepas ditemui pemberita di sini, hari ini.

Katanya lagi, latihan mereka adalah satu cabaran yang besar, tetapi mereka terus berusaha mencapai kejayaan sebagai satu pasukan.

“Mereka sering kali terpaksa meninggalkan waktu bersosial bersama rakan-rakan demi mencapai kejayaan ini,” ujarnya lagi.

Ng Yi Xuan, salah seorang atlet yang menyumbang pingat emas, berkongsi pandangannya mengenai pengorbanan tersebut.

“Kami sentiasa memastikan latihan berjalan lancar walaupun terpaksa berkorban masa cuti dan waktu belajar. Kejayaan ini adalah hasil dari usaha bersama dan sokongan daripada jurulatih kami.”

Frederic Yeap Zhang Wei, yang turut meraih pingat emas berasa bersyukur atas kemenangan besar pasukannya dalam mewakili negeri ke peringkat nasional.

“Kita tahu betapa pentingnya kejohanan ini dan semua pengorbanan yang telah kami buat adalah berbaloi. Kami sangat bersyukur dengan pencapaian ini,” tambahnya lagi.

Dalam kategori Ju No Kata (lelaki), Pulau Pinang meraih pingat emas dengan markah 337.5, mengatasi Melaka yang memperoleh pingat perak dengan 319.0 mata.

Terengganu dan Perak masing-masing meraih pingat gangsa dengan 316.0 dan 292.0 mata.

Bagi kategori Nage No Kata (lelaki), Pulau Pinang sekali lagi mendominasi dengan memperoleh pingat emas setelah meraih 342.0 mata. Terengganu memperoleh pingat perak dengan 319.5 mata, manakala Melaka dan Sabah masing-masing memenangi pingat gangsa dengan 306.5 dan 254.0 mata.

Dalam kategori Nage No Kata (Wanita), Terengganu berjaya meraih pingat emas dengan 300.0 mata, diikuti Perak dengan pingat perak (287.5 mata). Kelantan dan Pulau Pinang masing-masing memperoleh pingat gangsa dengan 229.5 dan 141.5 mata.

Kategori Ju No Kata (Wanita) menyaksikan Pulau Pinang sekali lagi berada di puncak, dengan markah 325.5 untuk pingat emas. Terengganu memenangi pingat perak dengan 324.0 mata, sementara Melaka dan Perak masing-masing meraih pingat gangsa dengan 319.5 dan 296.0 mata. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan