Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Clarkson Evans Tom Frankie (merah) berjaya mengalahkan Muhamad Mukhriz Khan Muzafar Khan dari Pulau Pinang bagi kategori 48kg. Foto Jazni Hanif (TVS)

SUKMA: Malam gemilang buat petinju Sarawak, semua atlet mara ke separuh akhir

ByMuqri Aziz

SRI AMAN, 19 Ogos: Setelah 19 bout bagi acara sukan tinju dipertandingkan pada malam pertama suku akhir dengan tumpuan atlet-atlet Sarawak membabitkan lima kategori lelaki dan satu kategori bagi wanita berakhir dengan penuh gilang-gemilang di mana enam atlet mara ke peringkat separuh akhir.

Ia sekali gus tuan rumah kekal mempunyai peluang yang cerah untuk menyapu bersih semua pingat emas yang dipertandingkan dan seterusnya menjadi juara keseluruhan pada edisi kali ini di Sarawak.

Atlet tinju Sarawak bagi kategori 48kg, Clarkson Evans Tom Frankie berjaya menumpaskan musuh ketatnya dari Pulau Pinang iaitu Muhamad Mukhriz Khan Muzafar Khan.

Dalam sidang media, dia bersyukur dan sangat berpuas hati kerana sebelum ini pernah tewas dua kali kepada Mukhriz itu bagi pertarungan kategori 48 kilogram (kg).

Kemenangan itu membawanya ke separuh akhir bertemu Aelfred Eter Tohiron dari Sabah pada 20 Ogos ini.

Seterusnya, atlet tuan rumah melalui Lam Wee Liang bagi kategori 60kg berjaya mengejutkan pihak lawannya dengan menundukkan Muhammad Shahil Adika Asmadi dari Terengganu menerusi tumbukan TKO atau Technical Knockout.

Wee Liang akan bertemu dengan Syafi Syamil Ahmad Faizal dari Wilayah Persekutuan pada saingan separuh akhir pada 20 Ogos ini.

Bagi kategori 67kg, berlakunya persaingan yang sangat sengit dipamerkan oleh atlet Sarawak, Anderton Teck Hieng Tie dan atlet Sabah Jazz Mizal Jasirin.

Walaupun diasak dan tampak seperti penat pada pusingan kedua, namun Anderton bangkit hasil sorakan penyokong-penyokong Sri Aman dan berjaya menewaskan Jazz dengan kutipan mata 3-2.

Anderton akan bertemu dengan Muhammad Aniq Zikri Masri dari Melaka pada saingan separuh akhir pada 20 Ogos ini.

Walaupun atlet Johor iaitu Muhammad Haziq Aiman Azmi berjaya merangkul pingat gangsa bagi kategori 75kg pada Kejohanan Golden Glove Boxing Championship 2024 awal tahun lalu di Iskandar Puteri, Johor, ia tidak mengugat semangat Gideon Riquelme Jonathan untuk menguasai permainan tersebut dan seterusnya berjaya mengalahkan Haziq Aiman.

Gideon akan bertemu dengan Muhammad Hafizyudin Nordin dari Kelantan pada saingan separuh akhir pada 20 Ogos ini.

Pada bout ke-16 bagi kategori 86kg, Bradley Jilan Kennedy mudah menumpaskan atlet dari Wilayah Persekutuan, Muhammad Asri Danish Mohamed Azli yang kelihatan longlai apabila terus diasak dan ditumbuk oleh Bradley sehingga ke minit terakhir perlawanan.

Bradley akan bertemu dengan Nur Ikmal Ramadan Sakila dari Terengganu pada saingan separuh akhir pada 20 Ogos ini.

Tumpuan malam pertama tertumpu ke arah kategori 45kg wanita di mana ia pertama kali dipertandingkan pada edisi kali ini, namun Sarawak memperolehi kemenangan percuma atau walkover setelah pihak lawannya daripada Pulau Pinang, Kwek Connie yang hilang kelayakan daripada bertanding.

Kemenangan percuma untuk membuatkan Patricia Jaquilina Bruce berjaya melangkah ke separuh akhir dan akan bertemu dengan Nur Balqis Syazwani Mohd Shahidi dari Terengganu pada 20 Ogos ini.

Malam ini, sebanyak lima kategori lelaki iaitu 51kg, 57kg, 63.5kg, 71kg dan 80kg akan dipertandingkan pada malam kedua peringkat suku akhir.

Peter Nyanggun Mancha akan bertemu dengan Muhammad Irfan Haikal Mohd Fazli dari Selangor (51kg), Frederick Xian Bartholonmew Albern akan bertemu dengan Muhammad Haikal Hakim Mohamad Noor dari Wilayah Persekutuan (57kg) dan Wan Dhia Danish Wan Muhammad Reza akan bertemu dengan Syed Muhammad Hanafi Syed Affindi dari Perak (63.5kg).

Dua lagi kategori lelaki iaitu Marcos Robert akan bertemu dengan Jonathan Jhon dari Sabah (71kg) dan Syahrul Wafie Khan Amran Khan akan bertemu dengan Muhamad Hazim Sahar Azmi dari Pahang (80kg). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan