Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anak keempat daripada enam beradik itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 1.61m mengakui tidak menjangka mampu menaiki podium selaku juara pada edisi kali ini. Foto: Bernama

SUKMA 2024: Bakal guru sebak kenang minat terhadap sukan ditentang bapa

ByBernama

KUCHING, 19 Ogos (Bernama) — Wajah bapa tersayang menerjah di fikiran tatkala Ku Yee Aleng dinobatkan sebagai pemenang pingat emas acara lompat tinggi wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak di sini hari ini.

Atlet Sabah berusia 19 tahun itu yang membuat debut SUKMA berkata bapanya, Ku Boon Yu yang meninggal dunia pada 2017 satu ketika dahulu tidak menyokong beliau menceburkan diri dalam sukan kerana mahukannya menumpukan kepada pelajaran.

Ku berkata beliau telah menjejakkan kaki ke menara gading dan bakal bergelar guru, pada masa sama berjaya dalam bidang sukan.

“Saya sebak, saya sudah tiada bapa, bapa meninggal dunia ketika saya darjah enam. Dahulu bapa tak galak saya bersukan, jadi (sekarang) saya macam boleh bagi ‘wow’ kepadanya walaupun dia sudah tiada.

“Saya tidak berapa pandai, sebab itu dia (bapa) suruh memperlahankan aktiviti sukan dan tumpu kepada akademik sebab UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pun tak seberapa. Sebab itu dia menentang,” kata mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah itu ketika ditemui di sini.

Pada saingan final hari ini, Ku disahkan pemenang emas dengan lompatan setinggi 1.64 meter (m) untuk mengatasi atlet Pulau Pinang Melissa Choong En Xuan yang turut melakukan catatan sama selepas kedua-duanya gagal dalam percubaan ketinggian 1.67m.

Bagaimanapun, beliau diberikan kemenangan selepas berjaya melepasi ketinggian 1.64m pada percubaan kedua berbanding Melissa pada percubaan ketiga.

Anak keempat daripada enam beradik itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 1.61m mengakui tidak menjangka mampu menaiki podium selaku juara pada edisi kali ini.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini, saya tak sangka akan menang kerana Melissa sangat kuat, saya pula hanya atlet yang berlatih di daerah kecil di Sabah.

“Saya dedikasikan kejayaan ini kepada ibu saya (Normah Annung), jurulatih saya dan semua orang yang banyak memberikan sokongan kepada saya sehingga berjaya sampai ke sini,” kata atlet berasal dari Kunak itu yang memenangi emas pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022.

Saingan olahraga yang menawarkan keseluruhan 47 pingat emas berlangsung selama lima hari bermula hari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan