Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memuji kem taekwondo tuan rumah yang telah mempamerkan prestasi cemerlang selepas mengumpul 11 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. Foto fail Faitullah Morni (TVS)

SUKMA 2024: Abdul Karim puji kem taekwondo tuan rumah

ByBernama

KUCHING, 19 Ogos: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memuji kem taekwondo tuan rumah yang telah mempamerkan prestasi cemerlang selepas mengumpul 11 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Beliau yakin mereka mampu mengutip lebih pingat emas menerusi baki beberapa acara berdasarkan semangat juang yang tinggi, sebelum taekwondo melabuhkan tirai esok.

Abdul Karim berkata tiada yang mustahil untuk atlet menyumbang pingat emas jika mereka telah menetapkan sasaran masing-masing.

“Sebelum SUKMA, apabila kita membuat penilaian, mereka memberikan petunjuk mampu menyumbang sekurang-kurangnya tujuh emas, namun sebelum acara berakhir, mereka telah menghadiahkan 11 emas. Ini amat mengagumkan saya.

“Hal ini belum pernah berlaku. Lebih baik daripada apa yang kita capai pada 2016. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh pasukan, jurulatih, pengurusan dan tentunya kepada atlet yang sangat berdedikasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat kepada pemenang acara taekwondo di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Skuad Bumi Kenyalang meraih lapan pingat emas pada edisi 2016 di laman sendiri sebelum membawa pulang empat emas pada edisi 2018 di Perak. Acara taekwondo tidak dipertandingkan pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.

Abdul Karim pada masa sama berharap seluruh atlet Sarawak terus menunjukkan prestasi terbaik bagi memastikan lagu ‘Ibu Pertiwiku’ terus berkumandang di Bumi Kenyalang.

“Saya mungkin akan ke Bintulu bagi memberi sokongan kepada pasukan (Muay Thai). Saya tahu mereka mampu menyumbang sesuatu. Begitu juga pasukan kriket, yang pertama kali melangkah ke final,” katanya yang yakin Sarawak berada di landasan tepat untuk muncul juara keseluruhan temasya kali ini.

SUKMA 2024 yang membuka tirai secara rasmi Sabtu lepas dijadualkan berlangsung hingga 24 Ogos.

Edisi kali ini berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran dengan penyertaan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan